• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Air Naik Mendadak, Pindah Demi Keselamatan

HULU TERENGGANU, 14 Disember - "Air naik terlalu cepat dan saya sekeluarga segera pindah ke balai raya demi keselamatan tambahan pula keadaan hujan yang semakin lebat ketika itu," kata Razali Mat Rani, 44, mengenai kejadian banjir  yang melanda Kampung Peneh, Ajil, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 12 tengah malam itu, hujan lebat sejak petang kelmarin menyebabkan hampir sebilangan besar rumah di kampung terbabit ditenggelami air sedalam 0.5 hingga satu meter akibat limpahan sungai Peneh.

"Kebiasaannya kami memang dah 'standby' berdasarkan pengalaman lepas tapi tak sangka pula air naik dengan cepat.

"Bila tengok keadaan dah lain macam, terus ajak ayah, isteri dan dua anak saya berpindah ke balairaya malam tu juga...takut sejarah berulang apabila rumah saya ditenggelami air sehingga tiga meter pada Februari 2022 dulu," ujarnya kepada pemberita.

Tambahnya, walaupun air dah mula surut pada awal pagi tetapi berdasarkan cuaca ianya tidak mustahil kembali banjir jika hujan masih lebat.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kg Peneh, Che Khalid Jusoh, 57, berkata susulan banjir tersebut, seramai 57 mangsa melibatkan 19 keluarga terpaksa dipindahkan ke balairaya secara tidak rasmi.

"Mangsa mula berpindah sejak jam 11.30 malam apabila air naik semakin tinggi di kawasan rumah mereka susulan hujan lebat dan limpahan sungai Peneh dan sungai Berang.

"Pada pagi ini air mula surut tapi kami tetap dalam mood berjaga-jaga sebab hujan masih lagi lebat ketika ini, "ujarnya.


 


Tag: