• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

Air Naik Mendadak, Tidak Sempat Buat Apa-Apa

KUALA TERENGGANU, 3 Disember – “Kali ni perabut pun sudah bergerak sendiri, mak cik berasa takut tengok walaupun air naik kali kedua dah sebab sebelum ni tidak macam ni,"rintih salah seorang mangsa banjir kilat, Wan Kelthom Abu Bakar.

Warga emas berusia 70 tahun itu merupakan antara 16 mangsa yang telah dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Chendering oleh anggota Bomba dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) Negeri Terengganu (sehingga jam 12.00 tengah malam). 

Kelthom atau lebih mesra disapa Che’ Da berkata, dia menyedari paras air meningkat lebih mendadak berbanding waktu banjir semasa 23 November lalu, di mana dia turut dipindahkan sebelum ini.

“Air dulu melimpah masuk ke dalam dapur sahaja, tetapi sekitar waktu petang hari ini paras air menembusi lantai kayu rumah dan merosakkan perabot seperti almari dan katil malah mak cik tak sempat nak selamatkan apa-apa pun.

“Kali ini kiranya saya dua kali dah pindah pada tahun ini. Kebanyakan perabut dah tak ada tempat lebih tinggi untuk diangkat kerana air sudah naik lebih tinggi berbanding bulan lepas," katanya ketika ditemubual Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI).

Anak Che’ Da, Tuan Zariah Tuan Yusof, 41, juga diantara mangsa yang telah ditempatkan di PPS bersama ibunya, berkata, kebiasaan ibunya yang berpindah sebab keadaan rumah yang rendah, namun kali ini rumahnya yang tinggi turut dimasuki air.

“Rumah saya tidak seteruk ibu saya jadi kerosakan tidak terkesan mana,”ujarnya lagi.

Ketua Sektor D Jawatankuasa Bencana Daerah Kuala Terengganu, Ahmad Fahmi Mohd Zahari berkata, hujan lebat berlaku sekitar jam 4.00 petang memberi tanda untuk bersiap siaga mengerakkan jentera.

“Kawasan berpotensi telah dikenalpasti dan hasilnya PPS SK Chendering dibuka pada jam 8.30 malam yang menempatkan enam keluarga. Paras air kali ini mencecah hampir paras dada (1.5 meter) berbanding pada bulan November iaitu 1.3 meter.

“Penduduk Kampung Simpang Empat dan Kampung Ketapang turut dijangka akan dipindahkan mengikut keadaan dan situasi semasa.

“Mangsa di PPS turut menjalankan saringan oleh anggota Kementerian Kesihatan (KKM) yang bertugas di sini,”katanya.