• 28 Apr 2024 | 19 Syawal 1445

Akhlak Terpuji, Berilmu Penting Kepada Graduan

DUNGUN, 1 Oktober - Graduan sepatutnya bukan sahaja mahir dengan ilmu kemahiran berkonsepkan 'pandai akal' semata-mata, bahkan perlu mempunyai keperibadian yang mulia.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato' Satiful Bahri Mamat berkata,  melahirkan manusia yang hanya mempunyai ilmu semata-mata tanpa disertakan kebersihan rohani akan membawa kepada keegoaan dan perdebatan yang tiada habisnya.

"Begitu juga dengan mereka yang berada dalam dunia perkerjaan tanpa memiliki ilmu, jiwa yang bersih dan kuat mereka tidak akan tahan dengan ujian.

"Mereka ini akan mudah tenggelam dalam lautan mencari kemasyuran dan mencari pujian, serta membawa kepada perpecahan dan kelemahan," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Konvokesyen UC TATI Ke-23 di Dewan Canselor University College TATI, baru-baru ini.

Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti College TATI turut memberi pesanan kepada graduan untuk menghargai pengorbanan ibu bapa, keluarga dan warga pendidik yang telah banyak menyokong mereka.

"Manfaatkan sebaiknya peluang yang telah diberikan dan  bersedialah menghadapi dunia luar yang sentiasa berubah dengan ilmu pengetahuan sebagai senjata utama.

"Kejayaan sejati memerlukan kombinasi akhlak terpuji dan pengetahuan yang kukuh dalam menghadapi cabaran dunia moden yang berubah dengan cepat," ujarnya.


Tag: