• 24 Okt 2024 | 21 Rabiul Akhir 1446

AKPK Sambut Baik Inisiatif Pelan Literasi Kewangan Terengganu

KUALA TERENGGANU, 25 November - Inisiatif kerajaan negeri mewujudkan literasi kewangan Terengganu bagi membantu rakyat menguruskan kewangan secara berhemah disambut baik Agensi Kewangan dan Pengurusan Kredit (AKPK) Terengganu.

Ketua Cawangan AKPK Terengganu, Junainah Ahmad Esa menyifatkan inisiatif berkenaan sebagai batu loncatan ataupun kesinambungan atas usaha untuk meluaskan lagi rangkuman pendidikan kewangan di kalangan rakyat Terengganu.

"Dengan sokongan kerajaan melalui inisiatif ini, kita yakin bahawa literasi kewangan akan berkembang di seluruh negeri. Usaha ini diperkenalkan tepat pada masanya sebab suasana pasca COVID-19 ini memperlihatkan masyarakat memang menghadapi cabaran kewangan yang besar terutama ketika berdepan keadaan ketidaktentuan ini.

"AKPK sebagai agensi utama yang diberi mandat untuk melaksanakan program membudayakan pengurusan kewangan berhemat di kalangan masyarakat amat berbesar hati untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi merealisasikan hasrat murni ini," katanya ketika di temui Urus Setia Penerangan Darul Iman, di sini, semalam.

Jelasnya, dengan adanya usaha yang mampan dan bersepadu daripada kerajaan negeri, AKPK secara tidak langsung akan dapat memperluaskan pembudayaan pengurusan kewangan baik dengan sokongan yang kukuh.

"Maknanya, kita akan mendapat kerjasama daripada lebih banyak agensi-agensi dengan sokongan kerajaan negeri. 

“Peningkatan literasi kewangan di kalangan masyarakat juga memerlukan penglibatan daripada agensi-agensi lain yang kita lihat mampu untuk memberi nilai tambah kepada pelaksanaan program ini demi mencapai hasil seperti yang diharapkan," katanya.

Tambah Junainah, rakyat Terengganu perlu mengambil peluang melibatkan diri dalam menjayakan inisiatif tersebut.

"Rakyat Terengganu amat beruntung dengan inisiatif yang diambil oleh kerajaan negeri dan perlu mengambil peluang sepenuhnya dengan melibatkan diri dalam program-program literasi kewangan yang bakal dilaksanakan kelak.

"Ilmu itu sangat penting dan menjadi 'game changer' dalam hidup kerana dengan ilmu baru kita boleh merubah nasib. Ilmu literasi kewangan akan membekalkan masyarakat dengan kesedaran, ilmu, kemahiran, sikap dan tabiat yang diperlukan untuk membuat keputusan kewangan yang bijak. Keputusan kewangan yang kita ambil hari ini boleh memberi impak kepada kesejahteraan kehidupan hari esok,” katanya.

 

 

 


Tag: