• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Aksi Gaban Gamatkan Himpunan Bermotor Kota Putera 2020

KUALA TERENGGANU, 16 September - Aksi lagak ngeri bermotosikal Mohd Amirul Asy-Syahid Mohd Salleh atau lebih dikenali sebagai Gaban berjaya menggamatkan suasana Himpunan Bermotor Kota Putera 2020.

Sebagai seorang pelagak ngeri atau 'stuntman' bermotor, Gaban bermurah hati beraksi sebanyak dua kali dalam program anjuran Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Putera buat tatapan peminat sukan bermotor setempat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan terbabit, Mohd Nurkhuzaini Abdul Rahman memaklumkan, aksi Gaban tersebut merupakan salah satu acara yang dibawakan dalam program sempena sambutan Hari Malaysia ke-57, hari ini.

Beliau yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Keusahawanan, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja Negeri berkata, program sehari itu turut menyajikan pelbagai pengisian bagi seluruh lapisan masyarakat setempat antaranya pertunjukan silat, dikir barat dan akan diakhiri dengan Forum Perdana bersama Ustaz Haslin Baharim, malam ini.

"Alhamdulillah, hari ini kita berjaya mengadakan perhimpunan bermotor yang mana dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ini anak muda lebih perlukan pengisian. 

"Objektif kita adalah untuk melihat anak muda dari perspektif Islam. Kita beri peluang untuk mereka beraktiviti bersama kita supaya kita cakna dan dengar pendapat mereka dalam program ini yang kita selitkan dengan pengisian seperti tatacara mengambil wuduk dengan air yang terhad yang ditunjukkan sebentar tadi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas sesi sembang santai bersama pengunjung dalam program yang berlangsung di Pantai Air Tawar Besut itu.

Tambahnya, program terbabit mendapat sambutan menggalakkan apabila lebih 20 penaja dan kelab bermotosikal tampil memberikan sokongan melalui penyertaan dan penajaan.

"Pada asalnya, kita sasarkan bawah 500 pendaftaran peserta bermotor, tetapi dimaklumkan lebih 800 peserta telah hadir namun terima kasih kepada petugas dan pihak berkuasa yang berjaya mengawal pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan," katanya.

Jelasnya, penganjuran program berkenaan di sambutan Hari Malaysia turut membawa mesej kepada masyarakat. 

"Kadang-kadang kita cuti sahaja pada hari-hari tertentu tetapi kita tidak faham dan menghayati sebabnya. Kami adakan program ini supaya mereka menghargai apa yang dimiliki, kita juga paparkan ucapan kemerdekaan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk berikan semangat patriotik kepada mereka," katanya.