Terengganu Ajak Rakyat Hayati Peristiwa Penting Nuzul Al-Quran
KUALA TERENGGANU, 26 Februari – Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim, menolak cadangan Akta Pembaharuan Semula Bandar atas alasan ia membuka ruang manipulasi oleh pemaju dan berpotensi menjejaskan hak pemilik strata.
Beliau menegaskan bahawa undang-undang baharu itu tidak menyediakan perlindungan sewajarnya kepada pemilik hartanah, sebaliknya memberi kelebihan kepada pemaju dalam proses pembaharuan bandar.
Menurut beliau, cadangan menurunkan had persetujuan pemilik strata daripada 100% kepada 51% boleh menyebabkan pemilik hilang kuasa dalam membuat keputusan penting berkaitan hak milik mereka.
“Kita perlukan undang-undang yang benar-benar melindungi pemilik hartanah, bukan yang membuka ruang manipulasi oleh pemaju,” katanya.
Datuk Ahmad Amzad turut mencabar Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) untuk menyatakan pendirian mereka berhubung cadangan penurunan ambang persetujuan tersebut.
Beliau menegaskan bahawa persetujuan secara prinsip terhadap akta ini tidak bermaksud menyokong cadangan yang berpotensi merugikan pemilik strata selain menolak dakwaan bahawa penentangannya terhadap akta ini bermaksud menolak usaha memperbaiki kualiti hidup penduduk bandar.
Sebaliknya, beliau menegaskan bahawa sebarang pembaharuan perlu dilakukan dengan teliti agar tidak mengorbankan hak pemilik hartanah demi kepentingan pihak tertentu.
“Besar perbezaan antara Garis Panduan Pembaharuan Semula Bandar yang sedia ada dengan cadangan akta baharu ini. Usaha memperbaharui bandar tidak seharusnya menggugat hak pemilik hartanah,” tambahnya.
Menurut Datuk Ahmad Amzad, pendekatan semasa pemerintahan Perikatan Nasional (PN) menitikberatkan kepentingan rakyat melalui garis panduan yang mengekalkan prinsip persetujuan 100% pemilik strata dalam sebarang projek pembaharuan. Pendekatan sebegini memastikan pemaju wajib berunding dengan semua pemilik tanah sehingga kata sepakat dicapai, sekali gus melindungi kepentingan sosial dan pemilikan rakyat.
Sebaliknya, cadangan akta baharu berkenaan dilihat memberi ruang kepada pemaju untuk melaksanakan projek meskipun tanpa persetujuan semua pemilik, mewujudkan risiko manipulasi dan potensi penindasan terhadap pemilik strata.
“Undang-undang baharu memerlukan penelitian mendalam kerana setiap seksyen dan ayat mempunyai implikasi besar kepada masyarakat. Rakyat perlukan perlindungan melalui undang-undang yang adil, bukannya undang-undang yang hanya memihak kepada pemaju,” tegas beliau.