• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Aktiviti Berbuka Di Tempat Awam Kembali Dilarang Jika Berdegil

KUALA TERENGGANU, 6 April - Kebenaran berbuka puasa di kawasan lapang dan tempat awam akan ditarik balik sekiranya orang ramai terus berdegil mengabaikan aspek kebersihan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata langkah itu merupakan jalan terakhir selepas amaran dan kompuan kepada individu yang membuang sampah merata-rata tidak berkesan mendidik rakyat.

"Membudayakan amalan kebersihan ini tidak payah, cuma buang sampah di tong yang telah disediakan, atau bawa plastik sendiri dengan mengumpulkan semua sisa-sisa yang hendak dibuang itu dahulu sebelum dibuang ke tempat pembuangan sampah.

"Jika didapati melakukan kesalahan secara jelas pihak penguatkuasa tidak akan teragak-agak mengenakan saman dengan kadar minimun RM50 dan maksimum RM2,000 sebagaimana yang dapat dilihat di papan tanda yang disediakan di Taman Awam Shahbandar ini," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita ketika mengadakan lawatan ke Bazar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), di Taman Shahbandar, semalam.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Muhamed dan Datuk Bandar MBKT, Rozali Salleh.

Mengulas lanjut,Dr. Alias berkata kerajaan bukan sengaja hendak mendenda rakyat, cuma mahu memastikan masyarakat di negeri ini mempraktikkan budaya menjaga kebersihan pada setiap masa.

"KIta bukan hendak mendenda sangat, cuma terpaksa ambil tindakan jika terus berdegil serta memastikan agar budaya membuang sampah merata-rata ini tidak diteruskan kerana ia akan merosakkan imej negeri kita sendiri," ujarnya lagi.

Dalam perkembangan yang sama, Dr, Alias memberikan saranan agar Ibu bapa tidak membawa anak-anak terutama bayi ke bazar Ramadan bagi mengelakkan kalangan kanak-kanak terbabit terdedah kepada jangkitan Covid-19.

"kalau terkena jangkitan dikhuatiri akan mengalami masalah kesihatan yang teruk maka saya nasihatkan kepada orang ramai yang sayangkan anak-anak, tinggalkan mereka di rumah hanya ketua keluarga atau wakil sahaja keluar mendapatkan juadah makanan di bazar atau menjaga anak di dalam kereta secara bergilir-gilir untuk sementara bagi mengelakkan risiko.

"Ini kerana apabila bersesak-sesak dengan orang ramai, mungkin ada yang positif Covid-19 tapi tidak bergejala, jadi adalah lebih baik kita mengambil langkah berjaga-jaga, apa yang utama ialah kesedaran daripada kalangan ibu bapa itu sendiri demi keselamatan anak-anak," ujarnya.