• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Aktiviti Keagamaan Di Mukim Rasau Dihentikan

DUNGUN, 7 November - Beberapa aktiviti keagamaan di mukim Rasau, di sini dihentikan sementara bermula hari ini berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sehingga 20 November ini.

Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Mat Azmi Arshad berkata, aktiviti-aktiviti tersebut adalah seperti kuliah agama dan program melibatkan perhimpunan ramai jemaah di masjid serta surau.

“Aktiviti-aktiviti keagamaan lain di mukim Rasau kita terpaksa dihentikan dahulu buat sementara waktu ini bagi mengekang penularan COVID-19,” katanya kepada ketika dihubungi pemberita semalam.

Mengulas lanjut, beliau bagaimanapun memaklumkan, ibadah solat Jumaat akan diteruskan seperti biasa dengan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan sebelum ini.

“Kita menggunapakai keputusan yang diputuskan bersama oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Terengganu sebelum ini.

“Ia SOP yang telah ditetapkan iaitu dihadkan kepada seramai 40 jemaah sahaja bagi sesebuah masjid dengan ada penjarakan fizikal antara setiap jemaah.

“Bagi solat lima waktu pula hanya imam dan bilal yang bertugas sahaja yang dibenarkan untuk berada di masjid dengan dihadkan enam orang bagi setiap waktu,” tambah beliau.

Untuk rekod, terdapat empat buah masjid dalam mukim Rasau iaitu Masjid Felda Kerteh 1, Masjid Felda Kerteh 2, Masjid Felda Kerteh 3 dan Masjid Felda Kerteh 4.


 


Tag: