Jalur Gemilang
Berita :
Aktiviti Luar Bilik Darjah Di Sekolah Terengganu Ditangguh Serta Merta
Aktiviti Luar Bilik Darjah Di Sekolah Terengganu Ditangguh Serta Merta
Rohayati Ripin
3 jam yang lepas
37

KUALA TERENGGANU, 16 September – Semua aktiviti luar bilik darjah di sekolah seluruh Terengganu ditangguhkan berkuat kuasa serta-merta susulan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kebanyakan kawasan negeri ini berada pada kategori tidak sihat.

Pengarah Pendidikan Terengganu, Kamsah @ Kamal Mohamed berkata, penangguhan itu melibatkan semua aktiviti yang dijalankan di luar bangunan sekolah sehingga kualiti udara kembali berada pada tahap selamat.

Katanya, ia termasuk aktiviti sukan, kokurikulum, Pendidikan Jasmani, perkhemahan, lawatan, rekreasi dan aktiviti air.

“Ia berkuat kuasa sehingga kualiti udara semasa kembali berada pada tahap selamat.

“Pihak sekolah perlu memastikan murid dan pelajar, khususnya mereka yang mempunyai masalah kesihatan berkaitan sistem pernafasan, berada di dalam bangunan bagi mengurangkan pendedahan kepada udara luar,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Setakat jam 12 tengah hari, tiga stesen pemantauan kualiti udara iaitu Kemaman, Paka dan Kuala Terengganu masing-masing merekodkan bacaan IPU 160, 158 dan 154, yang dikategorikan sebagai tidak sihat.

Bagaimanapun, bacaan IPU di Besut masih berada pada tahap yang tidak dikategorikan sebagai tidak sihat.

Penangguhan aktiviti berkenaan akan dikekalkan sehingga keadaan kualiti udara bertambah baik dan bacaan kembali ke tahap selamat.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan