• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

 

HULU TERENGGANU, 6 Disember - Menguruskan dua anak dan seorang anak istimewa bukan sesuatu yang mudah, namun bagi Mohd Hasrul Muda, 44  tanggungjawab itu digalas sejak berpisah dengan isterinya dua tahun lalu.

Menurut bapa tunggal yang menetap di Kampung Pantai Ali, Kuala Berang, sejak itu tugasnya bukan sekadar mencari nafkah bagi membiayai keperluan dua anaknya termasuk perubatan anak kurang upaya, malah mengisi kekosongan ditinggalkan si ibu.

Hasrul yang bekerja sendiri berkata, dia kini hanya mampu keluar bekerja jika ada pekerjaan kerana perlu memberi sepenuh tumpuan kepada tiga permata hatinya, Ahmad Brayyan, 7, Ahmad Firrayyan, 5 dan Ahmad Daffaad, 3.

"Anak istimewa saya, Firrayyan tidak boleh menguruskan diri sendiri memandangkan keadaannya yang lumpuh dan memerlukan penjagaan rapi.

"Sebab itu, saya terpaksa memilih pekerjaan di sekitar kampung sahaja malah terpaksa membawa  ketiga-tiganya bersama jika bekerja sebab bimbang keselamatan mereka jika dibiarkan di rumah,"ujarnya ketika ditemui pemberita di rumahnya, di sini hari ini.

Bagaimanapun, menurut Hasrul yang pernah berkhidmat di bahagian pemasaran di Sarawak berkata, demi anak, dia akan terus berusaha melakukan yang terbaik.

Jelasnya, dia bersyukur nasibnya mendapat perhatian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM350 dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) yang membantu membayar sewa rumah mereka.

Tambah bapa cekal ini lagi, kini dia cuma berharap ada pihak yang boleh membantu menawarkan pekerjaan buatnya untuk menyara kehidupan mereka sekeluarga tanpa menyusahkan orang lain.