Royalti Petroleum : Kerajaan Perpaduan Lebih Teruk Daripada Kerajaan PH
Oleh : Azhar Yusof
HULU TERENGGANU, 29 Julai - "Faktor kemiskinan ibu bapa bukan alasan untuk anak-anak tidak menikmati pendidikan sempurna di negeri ini," tegas Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah Pendidikan Dan Pengajian Tinggi negeri, Ustaz Maliaman Kassim.
Beliau berkata, kemiskinan itu wajar dijadikan cabaran ibu bapa bagi mengubah corak kehidupan masa depan anak-anak melalui pendidikan.
Katanya, ibu bapa juga perlu menjadikan pendidikan sebagai agenda utama dalam keluarga kerana dengan pendidikan sahaja berupaya mengubah nasib keluarga dan keluar dari belenggu kemiskinan.
“Kita harus pastikan semua anak kita yang menuntut ilmu agar mereka menjadi insan berjaya kerana belajar bukan satu prasyarat keperluan sahaja, jangan biar anak-anak kita tercicir dalam pendidikan.
“Jadi tidak ada alasan untuk ibu bapa tidak menghantar anak-anak mereka ke sekolah hanya kerana kemiskinan.
“Harapan kita, ibu bapa perlu berusaha untuk memberi rangsangan kepada anak-anak untuk minat ke sekolah dapat dicapai sekali gus meningkatkan prestasi pembelajaran untuk berjaya dalam bidang pendidikan yang akan mengubah nasib sesebuah keluarga,” ujarnya.
Beliau berkata demikian pada wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas lawatan kerja ke sekolah-sekolah dalam DUN Ajil, di Sekolah Kebangsaan Peroh, hari ini.
Maliaman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil turut menggesa guru supaya berkongsi maklumat murid yang dikategorikan sebagai miskin tegar kepadanya agar dapat memastikan bantuan yang sepatutnya diberikan bagi memastikan ibu bapa dapat menghantar anak-anak mereka ke sekolah.
Jelasnya, ia bagi memastikan semua masyarakat terutamanya di kawasan luar bandar mendapat pembelaan yang berterusan daripada kerajaan.
Tambah Maliaman lagi, kepentingan pendidikan untuk anak-anak perlu disedari oleh ibu bapa bukan sahaja untuk mengubah keluarga malah negara ini.