• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Algeria Tawar Pengajian Percuma Buat Pelajar Terengganu

KUALA TERENGGANU, 26 Julai - Kerajaan Algeria melalui Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) telah menawarkan 10 tempat untuk pelajar Terengganu mengikuti program Pengajian Islam secara percuma.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan, dan Pendidikan Tinggi Negeri, Satiful Bahari Mamat berkata, sebanyak lima tempat ditawarkan di Universiti Amer Abdul Qader, Constantine melalui surat yang diutuskan KPT, Algeria kepada Duta Besar Algeria dan dipanjangkan kepada Kementerian Luar Negeri Malaysia. 

Katanya, berita gembira itu diperoleh susulan usaha yang dilaksanakan kerajaan negeri membina hubungan dengan negara berkenaan.

"Baki lima tempat lagi ialah di Universiti Algiers 1, Algiers iaitu hasil kunjungan kerja yang dilakukan oleh rombongan Kerajaan Negeri Terengganu ke Algeria, Mei lalu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Rakit, Bazlan Abd. Rahman dalam Mesyuarat Kedua Penggal Kelima, Dewan Undangan Negeri (DUN) Keempat Belas di Wisma Darul Iman, semalam.

Jelasnya, proses bagi mendapatkan pengiktirafan MQA secara penaja diuruskan oleh Yayasan Terengganu (YT).

Pengurusan penghantaran pelajar melalui Pusat Bahasa Arab Terengganu (PBAT), Jabatan Pendidikan Islam Negeri Terengganu (JPINT).

"Surat tawaran pengajian dijangka akan dikeluarkan pada pertengahan Julai 2022 bersesuaian dengan taqwim kemasukan pelajar tempatan Algeria iaitu pada September nanti," katanya.

Tambahnya, semua pelajar akan menikmati pembelajaran percuma kerana semua ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Algeria.

 


Tag: