Terengganu Ajak Rakyat Hayati Peristiwa Penting Nuzul Al-Quran
KEMAMAN, 25 Februari – ‘Allah beri kami peluang kedua’, itulah ungkapan yang menggambarkan perasaan pelajar-pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Bandi selepas bas sekolah yang dinaiki mereka terbabas dan melanggar pokok, awal pagi tadi.
Dalam kejadian yang berlaku sekitar jam 6.50 pagi di Jalan Kampung Sungai Mas menuju ke Kampung Padang Kubu, enam pelajar mengalami kecederaan selepas bas yang membawa mereka hilang kawalan sebelum merempuh pokok di tepi jalan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Datuk Razali Idris, turut meluangkan masa menziarahi mangsa serta bertemu keluarga mereka untuk bertanya khabar dan memberikan sokongan moral.
Sementara itu, Siti Nur Ariana Abdullah, 16 yang berasal daripada Ladang Tebak, tidak menyangka perjalanan ke sekolah pagi itu berakhir dengan kejadian yang mencemaskan.
“Saya duduk seperti biasa. Tiba-tiba, bas bergerak ke tepi jalan dan melanggar pokok. Kemudian, keadaan dalam bas bergoyang dan kepala saya terhantuk pada pemegang tempat duduk di hadapan.
“Saya sempat melihat beberapa kawan-kawan lain turut tercedera, termasuk seorang rakan yang mengalami pendarahan hidung yang tidak berhenti,” katanya kepada pemberita ketika lawatan ADUN Kijal ke Kampung Ladang Tebak, hari ini.
Sementara itu, Nurul Shahirah Mohd Rosli, 13, yang sedang tidur ketika kejadian berlaku, terkejut apabila dia tersedar dalam keadaan cemas dan berdarah di bibir.
”Saya tidur ketika itu dan bila bangun, saya terkejut dan rasa pening, tengok bibir pun dah berdarah.
“Walaupun mengalami kecederaan, kami bersyukur kerana terselamat dalam kemalangan pagi tadi dan menerima rawatan dan berada dalam keadaan stabil,” jelasnya.
Menurut salah seorang lagi mangsa, Nur Hidayah Ghazali, 16, dia hanya mula menyedari apa yang berlaku selepas bas melanggar pokok.
”Mula-mula tak rasa apa, macam tak dengar. Bila dia brek, baru rasa hentakan tu. Lepas tu dah rasa macam kabur.
"Semoga semua rakan-rakan saya terlibat dalam kemalangan diberi kesembuhan segera dan kejadian seperti ini tidak berulang lagi,” ujarnya.