• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

'Allah Pilih Saya Jaga Dia'

DUNGUN, 6 Disember- Walaupun tiada pertalian darah, naluri Mazlan Osman, 60, sebagai insan melebihi segalanya yang setia mencurahkan kasih dan menjaga anak angkatnya yang disahkan doktor menghidap barah otak.

Menurut Mazlan, Muhammad Syahmi Mazlan Abdullah, 27, terlantar sejak Ogos lalu dan memerlukan penjagaan rapi.

" Cantik sekali, dia yang saya ambil masa kecil lagi jatuh sakit ketika saya dah pencen, maknanya Allah nak suruh saya isi masa pencen saya jaga dia. 

"Itulah, apabila kita merancang, Allah juga merancang dan sudah tentu perancangan Allah yang terbaik," ujarnya.

Mazlan ditemui pemberita ketika Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun berkunjung ke rumahnya untuk menyampaikan susu sumbangan Tabung Darul Iman (TDI) baru-baru ini. 

Bekas pemandu Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu tidak pernah jemu biarpun terpaksa menguruskan Muhammad Syahmi saban hari dan tidak putus berdoa mengharapkannya kembali sihat suatu hari nanti.

"Sebelum subuh saya beri susu, salin pamper, bersihkan badan dia, tambah pula kahaknya sentiasa kena sedut kalau tidak susah nak bernafas," ujarnya. 

Sebelum itu, Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Rantau Abang telah menyumbangkan katil untuk keselesaan dan memudahkan ayahnya menguruskan Muhammad Syahmi.

 


Tag: