• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Allahyarham Tegas Soal Integriti Terutama Penjawat Awam.

Oleh; Rohayati Ripin

KUALA TERENGGANU, 17 Januari - Allahyarham Tun Dr Mohamed Salleh Abas tegas dalam setiap urusan terutama dalam mengambil tindakan terhadap pegawai kerajaan negeri yang terlibat dalam salah laku dan tidak amanah.

 Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato' Yahaya Ali berkata, ada pimpinan sehingga 'kecut perut', sekiranya mereka ada yang melakukan kesalahan.

"Allahyarham sangat tegas, semua aduan rakyat berkaitan perkhidmatan kerajaan negeri diberi perhatian serius,"ujarnya.

Yahaya berkata demikian ketika dihubungi pihak media pada hari ini bagi mengenang jasa bekas Ketua Hakim Negara itu sepanjang berkhidmat dengan kerajaan negeri.

Menurutnya, beliau pernah bersama-sama dengan Allahyarham yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Hisbah dan Tugas-Tugas Khas ketika PAS memerintah Terengganu dari 1999 hingga 2004.

"Walaupun usia Allahyarham agak berumur ketika itu, tapi kepimpinan memutuskannya agar memegang jawatankuasa hisbah yang merupakan agenda penting kerajaan PAS Terengganu sewaktu mentadbir negeri.

"Banyak pengalaman dan kenangan yang dilalui sepanjang saya bersama-sama Almarhum Tun Dr Mohamed Salleh Abas," ujarnya.

Dato' Yahaya turut berkata, peranan Allahyarham sangat penting untuk menyemak dan mengimbang pentadbiran kerajaan negeri ketika itu.

"Oleh itu, pentadbiran negeri dapat berjalan dengan begitu telus kerana semua pihak terutama pegawai dan kakitangan kerajaan negeri faham apa akibatnya jika bertugas sambil lewa atau tidak amanah," katanya.

Allahyarham Mohamed Salleh, meninggal dunia ketika berumur 91 tahun, kira-kira pukul 3.20 pagi semalam di Hospital Sultanah Nur Zahirah, di sini, akibat pneumonia.

"Takziah diucapkan buat keluarga Allahyarham dan didoakan agar tabah serta sabar dengan pemergian ayahanda tersayang. 

"Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan para solihin," tambah Dato' Yahaya.


Tag: