• 04 Mei 2024 | 25 Syawal 1445

Amalan Bangun Malam, Resepi Kecemerlangan Aizudin

Aizudin diraikan wakil DUN Kuala Besut atas kejayaannya.
Oleh: Saifullah Jusoh

BESUT, 15 Mac - Amalan bangun malam untuk mengulang kaji pelajaran seawal jam 3 pagi menjadi resepi kejayaan Aizudin Mah Hassan, 20, dalam Peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) 2018 yang diumumkan baru-baru ini.

Murid Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Besut itu berjaya memperolehi Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.0 apabila mencatat keputusan A dalam kesemua subjek yang diambil sekali gus dinobatkan antara pelajar cemerlang dari seluruh negeri Terengganu.

Bapanya, Mah Hassan yang merupakan seorang nelayan melahirkan kegembiraan atas kejayaan tersebut.

"Dia (Aizudin) boleh dikatakan bangun seawal jam tiga pagi setiap hari untuk mengulang kaji pelajaran selain menunaikan ibadah sunat untuk memastikan dirinya tidak ketinggalan dalam pelajaran,” katanya ketika ditemui Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) sewaktu diziarahi Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut, Azbi Salleh, di rumahnya di Kampung Pachakan, Rabu lalu.


Azbi yang hadir bersama Yang Dipertua PAS Kawasan Besut, Wan Azhar Wan Ahmad turut menyampaikan sumbangan kepada Aizudin sebagai penghargaan atas kejayaannya.

Mah Hassan juga berharap anaknya itu mendapat peluang melanjutkan pelajaran dan mengejar cita-citanya.

Dalam pada itu, Aizudin yang turut ditemu bual menyatakan hasrat tersendiri ketika ditanya berkenaan bidang pengajian yang diimpikannya.

“Saya berhasrat menyambung pengajian dalam bidang pendidikan di Universiti Sains Malaysia (USM) sebagaimana kakak yang kini menuntut di sana,” katanya.




Tag: