• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Amalkan SOP, Jangan Sia-siakan PKP

BESUT, 9 Mei – Keadaan terkini penularan COVID-19 di Besut menggambarkan situasi membimbangkan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebagai salah satu usaha kawalan dan pencegahan wabak yang lebih teruk.

Menurut Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus, kadar insiden adalah tinggi dengan 117 kes bagi 100,000 penduduk dengan 16 kes keseluruhan kematian dalam negeri, 8 daripada jumlah itu adalah penduduk Besut.

Justeru itu, beliau menasihati seluruh rakyat Terengganu aga mengikuti had pergerakan dan mengelak aktiviti perkumpulan dalam jumlah yang ramai.

“Sesungguhnya PKP akan gagal jika hanya rentas negeri atau daerah yang diambil berat, sedangkan rakyat masih berhimpun dan bebas bergerak ke sana sini.

“Tambah lagi jika tiada pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) seperti pemakaian topeng pelitup muka dan amalan kebersihan tangan, usaha PKP kita akan jadi sia-sia.

“PKP hanya akan berjaya jika setiap orang amalkan kawalan kendiri,” katanya dalam kenyataan di Facebook rasminya, semalam.

Sebelumnya, PKP telah dikuatkuasakan di Besut selama 14 hari bermula 7 sehingga 20 Mei.

“Mereka yang meninggal dunia ini datang ke hospital dalam keadaan sudah tenat. Empat pesakit warga Besut sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu dengan bantuan alat pernafasan.

“Setiap hari puluhan kes positif virus dicatatkan di daerah itu, dengan peningkatan terbaru sebanyak 47 kes semalam.

“Sebanyak lapan kluster aktif sedang menular di Besut dengan paling besar iaitu Kluster D'Lahar dan Kuster Tok Has yang melaporkan ratusan kes positif,” tambahnya.

Untuk rekod, 71 kes baharu COVID-19 dalam negeri direkodkan semalam menjadikan jumlah keseluruhan kes sebanyak 4,799 kes.