KUALA TERENGGANU, 26 Disember- Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap bahaya yang dijangka melanda beberapa kawasan di Kelantan dan Terengganu bermula hari ini hingga 29 Disember ini.
MetMalaysia memaklumkan, kawasan terlibat di Kelantan ialah Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Bachok, Machang dan Pasir Puteh, manakala di Terengganu melibatkan daerah Besut, Setiu, Kuala Nerus, Kuala Terengganu dan Marang.
Menurut kenyataan itu, amaran hujan berterusan tahap buruk pula diramalkan berlaku di Jeli, Tanah Merah dan Kuala Krai di Kelantan; Hulu Terengganu, Dungun serta Kemaman di Terengganu; selain Kuantan, Pekan dan Rompin di Pahang dalam tempoh yang sama.
Selain itu, amaran hujan berterusan tahap waspada dijangka melanda Gua Musang di Kelantan; Jerantut, Maran dan Bera di Pahang; serta Segamat, Kluang, Mersing dan Kota Tinggi di Johor sehingga Isnin depan.
MetMalaysia menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan mengikuti perkembangan cuaca semasa, selain mematuhi arahan pihak berkuasa bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.