• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

Ambil Iktibar Peristiwa Isra' dan Mikraj, Sempurnakan Ibadat Solat

KUALA TERENGGANU, 11 Mac – Umat Islam dalam negeri ini diseru supaya menjadikan peristiwa Isra’ dan Mikraj sebagai satu tanda kebesaran serta kehebatan kuasa Allah.

Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, melalui ucapannya berkata, peristiwa tersebut menceritakan pertemuan antara Rasullulah SAW dengan Allah SWT yang telah memberikan perintah kefarduan solat lima waktu.

“Begitu besarnya kefarduan solat ini maka ia adalah satu tanggungjawab kerajaan negeri untuk mengambil inisiatif membesar-besarkan perihal solat di Terengganu.

“Di Terengganu sejak tahun 2019, kita telah menggerakkan agenda solat ini selama sebulan melalui program Bulan Penghayatan Ibadah Solat, supaya kesedaran solat ditingkatkan dalam kalangan masyarakat," kata Ahmad Samsuri.

Beliau berkata demikian semasa berucap di Majlis Perasmian Israk Mikraj Peringkat Negeri di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, pagi tadi.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah, Barisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Mufti Terengganu, Dato’ Dr Haji Zulkifly Muda serta Pengarah Yayasan Islam Terengganu, Rozali Salleh.

Beliau turut menyifatkan peristiwa perjalanan Rasullulah SAW dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa sebagai perkara tidak tercapai dengan ilmu manusia pada waktu itu.

“Di sinilah kita wajib bertambah yakin bahawa betapa kerdil dan ceteknya ilmu manusia, tetapi manusia tetap menjadi angkuh dengan meninggalkan ajaran Islam," tambahnya.

Sementara itu, Mohd Nor Hamzah berkata, kedudukan ibadah solat adalah amat tinggi di sisi agama Islam kerana ia adalah penghubung umat dengan Allah SWT.

“Salah satu inisiatif yang boleh dikatakan rutin tahunan mengelanya bulan Rejab adalah melaksanakan Bulan Penghayatan Solat.

“Jelaslah bahawa, pendekatan Kerajaan Negeri Terengganu yang ditunjukkan ini adalah bagi melahirkan masyarakat yang bersifat Khairu Ummah menjadikan Negeri Terengganu sebagai sebuah negeri 'baldatun thayyibatun wa rabbun ghafur',” jelasnya.