lightning-solid
Berita :
Ameerah Terengganu Santuni Keluarga Mangsa Kemalangan RXZ di Buluh Gading
Ameerah Terengganu Santuni Keluarga Mangsa Kemalangan RXZ di Buluh Gading
Husaif Mamat
1 hari yang lepas
53

KUALA TERENGGANU, 3 Ogos - Ameerah Terengganu menziarahi dan menyampaikan sumbangan kepada keluarga seorang remaja yang melecur 60 peratus dalam kemalangan membabitkan sebuah motosikal Yamaha RXZ di Persimpangan Buluh Gading, di sini, tengah semalam.

Kunjungan itu diketuai Pengarah Ameerah Terengganu, Sumaiyah Zakaria bersama Ahli Jawatankuasa Ameerah Negeri Terengganu bagi mendapatkan perkembangan terkini mangsa serta menyampaikan sumbangan kepada keluarganya.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.50 pagi pada Jumaat lalu, Ahmad Asyraf Talhah, 13, mengalami kecederaan melecur dari paras pinggang hingga ke bawah selepas motosikal Honda Beat dinaiki bersama ibunya dirempuh sebuah motosikal Yamaha RXZ.

Ketika kejadian, ibunya, Syafirah Salim, 36, yang hamil tujuh bulan dalam perjalanan bersama Ahmad Asyraf dari rumah mereka di Kampung Tanjung Sabtu ke Pasar Batu Enam untuk membeli barangan dapur.

Pelanggaran itu dilaporkan menyebabkan berlaku tumpahan minyak sebelum kedua-dua motosikal terbakar.

Motosikal dinaiki Ahmad Asyraf dan ibunya hangus sepenuhnya, manakala motosikal Yamaha RXZ terbabit dilaporkan terbakar kira-kira 80 peratus.

Ahmad Asyraf kemudian dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu dan ditidurkan bagi membolehkan prosedur membersihkan luka melecur dilakukan.

Mangsa dilaporkan sudah sedar pada pagi Ahad, namun masih dipantau rapi berikutan kadar degupan jantung yang kencang serta risiko jangkitan kuman pada bahagian kulit yang terjejas.

Sumaiyah berkata, kunjungan itu merupakan tanda keprihatinan pihaknya terhadap keluarga mangsa yang kini berdepan urusan rawatan dan pemulihan.

“Pihak kami hadir untuk mendapatkan perkembangan keadaan mangsa, menyampaikan sedikit sumbangan serta memberikan sokongan kepada keluarganya.

“Kami mendoakan agar Ahmad Asyraf diberikan kesembuhan dan dipermudahkan segala urusan rawatan,” katanya.

Beliau turut mendoakan agar kesihatan Syafirah dan kandungannya terus berada dalam keadaan baik.

“Kami berharap seluruh ahli keluarga diberikan kekuatan dan kesabaran sepanjang melalui tempoh rawatan ini,” katanya.

Kemalangan itu sebelum ini mendapat perhatian ramai selepas rakaman kejadian berkenaan tular di media sosial.


Tag :

Artikel Berkaitan