• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Anak Muda Hasilkan Pes Makanan Sendiri

HULU TERENGGANU, 23 Januari - Warung Santai D'River (WDSR) akhirnya berjaya mengeluarkan produk dengan jenamanya sendiri iaitu Pes Kari Kepala Ikan, Kari Ayam Daging dan Ikan Bakar.

Pemiliknya, Abdul Talib Mohamad, 38, berkata dengan pencapaian awal tersebut, hasratnya selama ini telah tertunai.

Katanya, kejayaan itu hasil bantuan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) yang menyediakan program untuknya.

"Bermula daripada sana saya dapat 'networking' dan tahu cara hendak mengeluarkan produk ini, sebelum ini saya tidak tahu dan fikir sangat, saya hanya menumpukan perniagaan saya di tapak sedia ada yang dimulakan pada tahun 2015.

"Fasa kedua nanti, saya menyasarkan untuk menembusi pasaran Asia Tenggara sebelum hujung tahun 2022, dan saya telah mendapat tawaran awal daripada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) untuk membawa produk saya ini ke Dubai, pada Februari ini.

"Untuk masa terdekat ini saya akan mengeluarkan 1,000 paket Pes dahulu untuk dijual di lima cawangan Pasar Raya Sabasun seluruh Terengganu dan dua cawangan WSDR iaitu di Kuala Terengganu dan Paka," ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran produknya yang disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu, Mohd Iskandar Muhammad Aziz, di sini, semalam.

Abdul Mutalib berkata, beliau menggunakan modalnya sendiri sebanyak RM10,000 dalam menghasilkan produk tersebut dan idea itu datang setelah menerima maklum balas yang sangat baik dari pelangganya.

"Ramai yang mencadangkan supaya saya menghasilkan PES ini untuk mereka yang sukakan kari kepala ikan, sebelum ini saya sendiri tidak tahu bagaimana cara untuk menghaslkannya.

"Sehinggalah saya dicadangkan agar mengikuti kursus MARDI Terengganu pada tahun lepas dan terus berusaha merealisasikannya dalam tempoh tidak sampai dua bulan," katanya.

Berkongsi rahsia mengenai sambutan terhadap kedai makannya yang mendapat sambutan ramai, beliau berkata menu utama kari kepala kan dipelajari dengan ibunya sendiri.

"Ibu saya dahulu pernah berkerja sebagai tukang giling rempah kari di Singapura sebelum berkahwin dan berpindah ke Terengganu, dan saya sangat gemari masakan ibu saya, sehingga apa yang ibu saya masak, saya akan cuba pelajari.

"Alhamdulillah setelah saya perkenalkan kari ini kepada orang ramai, berkat usaha dan sokongan daripada keluarga, orang kampung serta orang ramai yang hadir perniagaan saya makin membesar hingga jualan dan menu utama berasaskan kari kepala Ikan ini semakin laris.

"Daripada ruang niaga yang kecil, sekarang sudah membesar bersaiz restoran, jika permulaanya hanya sekadar 10 meja sekarang mencecah 40 meja makan pelbagai saiz dengan staf semakin ramai berjumlah 30 orang, dahulunya hanya melibatkan empat orang adik beradik," ujar beliau.

Dalam pada itu katanya, bantuan daripada Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) juga banyak telah membantu dari segi promosi dan bimbingan perniagaan.

 


Tag: