• 05 Mei 2024 | 26 Syawal 1445

Anak Muda Perlu Berani Teroka Bidang Keusahawanan

KUALA NERUS, 12 Jun - Kerajaan negeri berharap lebih ramai golongan muda berani meneroka bidang keusahawanan serta menceburi bidang berkenaan dengan menggunakan segala peluang yang disediakan.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, besar harapan pihak kerajaan negeri agar anak muda menjadikan keusahawanan sebagai satu kerjaya yang diminati dan bukan pilihan terakhir setelah gagal mendapatkan sebarang pekerjaan.

"Harapan saya agar akan lahir lebih ramai usahawan muda dan saya sangat berbesar hati apabila semua agensi-agensi melalui Sekretariat Pembangunan Ushawan Terengganu (PEUTER) bersama Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) mengambil langkah bersama iaitu terus memburu usahawan-usahawan ini untuk dibantu.

"Kita tidak mahu bidang keusahawanan ini dijadikan pilihan terakhir setelah gagal ditemuduga untuk mendapatkan pekerjaan di sektor swasta mahupun kerajaan, kerana itu kita akan sentiasa berusaha bagi memastikan bidang ini diminati oleh rakyat khususnya anak-anak muda negeri kita," ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas menghadiri Majlis Apresiasi Anugerah Usahawan Terengganu (AUT) 2022, di Dewan Baiduri 1, Raia Hotel, di sini, baru-baru ini.

Menurutnya majlis yang diadakan itu adalah untuk memberi pengiktirafan kepada agensi-agensi dibawah Peuter serta panel penilai yang telah bertungkus lumus dalam menjayakan Anugerah Ushawan Terengganu 2022 yang diadakan baru-baru ini.

Katanya, ia melibatkan 40 agensi antaranya Jabatan Kebudayaan & Keseniaan negara, Negeri Terengganu, Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Tourism, Bank Negara Malaysia, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian (MARDI), SIRIM, MARA, dan pelbagai agensi-agensi lainnya di bawa Peuter.

"Alhamdulillah sehingga sekarang tidak ada yang mempertikaikan calon yang diisytiharkan pemenang, ini menandakan komitmen dan kerja kuat daripada semua agensi ini yang telah melahirkan keputusan yang tepat bagi setiap kategori yang dimenangi oleh calon-calon.

"Dengan memastikan mereka yang benar-benar terbaik sahaja dinobarkan menjadi pemenang AUT 2022 baru-baru ini,"ujarnya.