Berita :
"Angkanya Mencecah Ratus-Ratus Juta" - Dr. Azman Dedah Hasil Perjanjian FELDA
"Angkanya Mencecah Ratus-Ratus Juta" - Dr. Azman Dedah Hasil Perjanjian FELDA
Ahmad Zaeem Zainudin
2 jam yang lepas
89

KUALA TERENGGANU, 22 April - Kerajaan Negeri Terengganu kini berada di landasan yang tepat untuk mengutip hasil yang mencecah ratusan juta ringgit susulan perjanjian penyelesaian isu tanah ladang komersial melibatkan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) selepas lebih empat dekad.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dato' Dr. Azman Ibrahim berkata, jumlah tersebut merangkumi bayaran premium tanah, cukai tanah serta perkongsian keuntungan yang sebelum ini tidak diperoleh kerajaan negeri.

Menurut beliau, walaupun angka sebenar tidak dapat didedahkan kerana tertakluk kepada terma kerahsiaan perjanjian, hasil yang akan diterima adalah besar.

"Angkanya mencecah ratus-ratus juta, itu sahaja yang boleh dimaklumkan," katanya ringkas ketika menjawab soalan tambahan oleh ADUN Bukit Tunggal pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu.

Jelas Dr. Azman, terdapat dua bentuk bayaran yang akan diterima iaitu secara 'one-off' dan hasil berterusan yang akan dikutip pada setiap tahun.

"Cuma saya boleh kategorikan ada yang kita akan dapat dalam bentuk 'one-off' seperti bayaran premium dan ada pendapatan dalam jumlah setiap tahun,

"Yang perlu dibayar secara tetap iaitu cukai tanah dan juga perkongsian keuntungan sebagai balasan Kerajaan Negeri memberi pemilikan tanah dan Felda tidak memasukkan peneroka ke dalam tanah-tanah tersebut," ulasnya.

Terdahulu, beliau memaklumkan bahawa perjanjian antara kerajaan negeri dan FELDA berjaya dimuktamadkan selepas 40 tahun isu berkenaan berlarutan tanpa penyelesaian.

Menurutnya, sepanjang tempoh itu kerajaan negeri kehilangan hasil dalam bentuk premium tanah, cukai tanah dan perkongsian keuntungan berikutan tanah milik kerajaan negeri diusahakan sebagai ladang komersial tanpa kebenaran sah serta tidak diisi peneroka.

Perjanjian yang ditandatangani pada 18 Mac 2026 di Kementerian Kewangan (MOF) Putrajaya itu memperakui hak kerajaan negeri untuk menuntut bayaran berkenaan, selain membuka laluan kepada proses pemberimilikan tanah secara sah kepada FELDA.

"Berulang kali kita bincang, rundingan demi rundingan, siri-siri mesyuarat dan banyak kali kita hantar surat tapi hasilnya tetap buntu.

"Lantaran kerana tiada penyelesaian dicapai, tindakan penguatkuasaan Notis 425 KTN yang dikuatkuasakan pada 30 November 2025 adalah pilihan akhir yang terpaksa diambil walaupun ianya pahit demi menuntut hak Negeri Terengganu.

"Penguatkuasaan Notis 425 KTN ini telah berjaya membuka kembali siri-siri perundingan antara Kerajaan Negeri dan Felda dengan pihak MOF sebagai mediator," katanya.

Tambahnya lagi, perjanjian yang ditandatangani itu telah memperakui dan mengesahkan hak Negeri Terengganu untuk mendapatkan bayaran premium tanah, cukai tanah dan bayaran perkongsian keuntungan.

Sebagai langkah susulan, FELDA akan mengemukakan permohonan pemberimilikan tanah kepada kerajaan negeri dalam tempoh yang dipersetujui, manakala kerajaan negeri komited memproses permohonan tersebut.

Keseluruhan tanah yang terlibat meliputi keluasan 16,761 hektar atau 41,902 ekar merangkumi 478 lot di beberapa daerah termasuk Besut, Setiu, Marang, Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman.

Dalam masa sama, beliau menegaskan usaha kerajaan negeri bukan untuk merampas tanah, sebaliknya memastikan status penggunaan tanah tersebut diselaraskan mengikut undang-undang.

"Matlamat Kerajaan Negeri ialah supaya status Felda yang membangunkan tanah Kerajaan Negeri tanpa kebenaran yang sah dapat ditukar kepada pemberimilikan yang sah melalui pemberian geran hak milik," ujarnya.


Ketupat

Artikel Berkaitan