• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Angkara Kereta Rumah Nyaris Dijilat Api

MARANG, 18 Februari - Angkara kereta sendiri terbakar secara tiba-tiba di garaj, rumah seorang peniaga kedai runcit di Kampung Atas Tol, Bukit Payung nyaris hangus dijilat api.

Suriani Said , 53, berkata, ketika kejadian dia sedang berehat di dalam rumah bersama enam anaknya.

“Sekitar jam 3 petang, saya sedang berehat di dalam rumah dan tiba-tiba anak jiran saya datang memaklumkan bahawa bonet hadapan kereta saya mengeluarkan asap berkepul-kepul.

"Tanpa berfikir panjang saya terus memanggil jiran untuk menolak kereta tersebut keluar daripada garaj rumah dan sekelip mata sahaja muncul api yang terus menjilat kereta sehingga hangus,” ceritanya kepada pemberita kelmarin.

Menurut ibu tunggal itu lagi, dia bersyukur kerana mempunyai jiran yang prihatin hingga menyelamatkan nyawa mereka sekeluarga.

"Selamat sempat tolak keluar dari garaj, kalau tak habis sekali dengan rumah terbakar.

"Saya anggarkan kerugian sekitar RM6 ribu, alhamdulillah hari ini (semalam) Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payung, Mohd Nor Hamzah ada menziarahi saya dan menghulurkan sedikit bantuan,” tambahnya lagi.

Dalam pada itu, Mohd Nor Hamzah berpesan kepada semua agar sentiasa peka dan lebih berhati-hati ketika berada di rumah masing-masing. 


Tag: