• 02 Dis 2020 | 16 Rabiul Akhir 1442

DUNGUN, 18 November - Desas-desus tentang ramai pemain import dan tempatan bakal melangkah keluar daripada Terengganu Football Club (Terengganu FC) turut mengundang persoalan berkaitan ke mana hala tuju pengendali pasukan itu, Nafuzi Zain pada musim depan.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Hishamuddin Abdul Karim ketika ditemui media di Dungun semalam memberi jaminan, bekas pemain kebangsaan itu akan terus mengemudi pasukan bagi musim 2021.

"Oleh kerana kita hendak mengekalkan DNA Terengganu, saya boleh jamin Nafuzi akan terus bersama Terengganu FC," katanya.

Tambahnya, PBSNT turut berpuas hati apabila Skuad Penyu berjaya menempatkan diri di kedudukan tiga terbaik pada saingan CIMB-Liga Super Malaysia 2020 lalu.

"Kita berjaya mencapai sasaran dan kita sudah berada pada landasan yang betul sebenarnya. Pemain tempatan kita, pada saya telah mencapai apa yang PBSNT inginkan daripada 'road map' yang telah kita susun sepanjang tahun ini.

"Dari sudut keserasian seumpamanya, sebenarnya kita mampu untuk membentuk mereka dengan cepat. Yang paling penting, mereka sedia untuk dibimbing dan melakukan perubahan. Jadi saya melihat Terenganu tidak kurang bakat cuma mereka mesti sedia untuk belajar dan sedia untuk ditegur, meningkatkan diri sendiri," katanya. 

Beliau juga percaya, Terengganu FC akan memberi tumpuan yang baik dalam saingan Piala AFC walaupun dengan berlaku sedikit perubahan pada pasukan di musim hadapan.

"Saya percaya pihak jurulatih telah membuat satu keutamaan untuk membentuk pasukan yang mampu beraksi dengan baik untuk AFC," tambah beliau.  

 


Tag: