• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

KUALA TERENGGANU, 27 Mei - Fenomena gerhana bulan penuh atau ‘bulan berdarah’ yang berlaku semalam juga disebut dalam kalangan masyarakat sebagai Super Flower Blood Moon atau nama saintifiknya Gerhana Bulan Penuh Perigee.

Warna merah darah berlaku kerana bulan berada dalam bayang gelap bumi (umbra) yang menyebabkan tiada pantulaan cahaya dari matahari dapat sampai padanya.

Pembiasan cahaya matahari masih berlaku tetapi disebabkan atmosfera bumi dipenuhi dengan partikel-partikel seperti debu dan habuk, maka cahaya warna biru akan terserak. Jadi, hanya cahaya warna merah sahaja yang dapat sampai pada bulan.

Sebagai orang Muslim, kita disarankan berzikir membesarkan kekuasaan Allah SWT menunaikan solat sunat gerhana di atas fenomena yang terjadi ini. Ia sekaligus meningkatkan keimanan kita kepada Allah SWT.

Bagi ahli sains dana golongan pemikir, terdapat banyak kajian dapat dilakukan ketika proses gerhana matahari dan bulan.

Antaranya ialah konsep pembiasan/penyerakan cahaya (perubahan warna bulan), astrofotografi, menguji/menyemak ketepatan masa terbit dan terbenam matahari/bulan bagi lokasi tertentu untuk kegunaan takwim.

Selain itu, kesan gerhana kepada alam semulajadi turut menjadi tumpuan kajian seperti pasang surut air laut sebagaimana isu kapal tersangkut di Terusan Suez, di Mesir, baru-baru ini. 

Yang paling menarik, gerhana yang berlaku ini boleh digunakan untuk menangkis isu palsu berkenaan bumi rata (flat earth). 

Oleh kerana bulan berada dalam bayangan bumi, ketika bulan keluar dari bayang bumi kita boleh perhatikan rupa bentuk bayang bumi adalah bulat dan tidak rata.

Sumber: Fakulti Pengajian Kontemporari Islam dan Institut Penyelidikan Alam Sekitar Pantai Timur dengan Kerjasama Kelab Astronomi UNISZA.


Tag: