• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Terengganu Lepas Peluang Tamatkan Penantian 20 Tahun

JOHOR BAHRU, 26 November - Terengganu FC melepaskan peluang untuk menamatkan penantian 20 tahun tanpa Piala Malaysia selepas terkandas di peringkat separuh akhir kepada Johor Darul Ta'zim (JDT).

Walau bagaimanapun, aksi memukau skuad Terengganu FC sehingga layak ke peringkat separuh akhir sangat membanggakan.

Dalam perlawanan semalam, bolos tiga gol dalam 15 minit pertama perlawanan mengakibatkan Terengganu FC tewas 0-3 kepada JDT dalam aksi timbal balik separuh akhir Piala Malaysia 2021, sebentar tadi.

Bertandang ke Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, segalanya serba tidak menjadi buat Sang Penyu.

Pada minit ke-6, penyerang Harimau Selatan, Bergson Da Silva yang mengintai peluang terbuka, melakukan rembatan deras dari luar kotak penalti untuk JDT selesa di depan dengan gol pertama perlawanan.

Empat minit kemudian, bermula dengan gerakan pemain muda meningkat naik, Arif Aiman, Gonzalo Cabrera berjaya mencetak gol kedua tuan rumah apabila memanfaatkan peluang dalam keadaan kelam-kabut dalam kotak penalti Terengganu FC.

Tersentak dengan gol tersebut, anak-anak buah Nafuzi Zain cuba mengatur kembali penguasaan bola.

Namun, kesilapan Habib Haroon gagal mempertahankan bola dihukum rembatan Bergson yang menggegar gawang Sang Penyu pada minit ke-14.

Ketinggalan 3-0, Terengganu FC seakan mendapat harapan baru untuk bangkit apabila Syafiq Rahim diarahkan keluar padang akibat mengasari Faisal Halim setelah perlawanan dihentikan, seminit selepas itu.

Dengan kelebihan seorang pemain, Terengganu FC mula melancarkan serangan ke kubu tuan rumah.

Pada minit ke-21, pemain muda, Muhammad Zuasyraf Zulkiefli melakukan rembatan, namun terlalu tinggi.

Nik Akif Syahiran yang masuk menggantikannya turut mendapat peluang pada minit ke-35 apabila menerima hantaran lintang Faisal, tetapi rembatannya diselamatkan Farizal Marlias.

Peluang terbaik Terengganu FC hadir seminit kemudian apabila pertahanan, Faisal melakukan hantaran lintang kepada Azarul Nazarith yang tidak dikawal dalam kotak penalti.

Azarul kemudian menolak bola kepada Jordan Mintah di hadapan pintu gol yang terbuka, namun disia-siakan penyerang kelahiran Ghana itu yang merembat tinggi bola melewati palang.

Keputusan kekal dengan JDT selesa mendahului tiga gol.

Memasuki babak kedua, tuan rumah lebih banyak ber'kampung' di kawasan sendiri, namun Terengganu FC terus gagal membolosi kubu kebal tuan rumah.

Kegagalan menggunakan kelebihan satu pemain itu sekaligus memadam harapan pasukan pantai timur untuk ke perlawanan akhir Piala Malaysia selepas kali terakhir melakukannya pada 2018.

Sementara itu, JDT terus cemerlang ke pentas final keempatdalam kejohanan yang kali dijuarainya pada 2019.

 

 

 


Tag: