• 03 Mei 2024 | 24 Syawal 1445

APKT Perkasa Industri Pelancongan, Kebudayaan Terengganu

Ariffin Deraman.
KUALA TERENGGANU, 29 Januari - Setelah hampir 30 tahun berlalu, Anugerah Pelancongan dan Kebudayaan Terengganu (APKT) 2018/2019 akan kembali diadakan pada Sabtu ini sekali gus mampu merancakkan lagi sektor itu di Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, penganjuran majlis tersebut adalah sebagai tanda keseriusan kerajaan negeri dalam mengangkat industri serta pihak yang mempelopori pelancongan dan kebudayaan Terengganu.

“Kita berada dalam keadaan masyarakat di seluruh dunia dan Malaysia sedang memerhatikan produk-produk pelancongan serta keindahan yang ada di negeri ini.

“Jadi anugerah ini pastinya akan menjadi pemangkin semangat kepada pemain-pemain industri pelancongan yang selama ini bertungkus lumus menjulang nama Terengganu,” katanya pada sidang media khas di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Menurut Ariffin, sebanyak 13 kategori melibatkan 31 anugerah akan disampaikan kepada seluruh penggiat pelancongan yang terpilih dari dalam dan luar Terengganu.

Katanya, dalam majlis terbabit, tokoh, personaliti dan ikon pelancongan menjadi anugerah utama yang diberikan khas oleh kerajaan negeri selain pengiktrafan kepada pengusaha pelancongan domestik terbaik.

“Kita juga tidak lupakan para media sama ada cetak atau elektronik, peranan yang dimainkan oleh mereka akan kita balas dengan beberapa penghargaan,” ujarnya yang bercadang untuk mengadakan acara itu sebagai acara dwitahunan.

Selain itu, Ariffin memaklumkan produk pelancongan berinovasi, berpotensi dan terbaik turut akan diumumkan pada 1 Februari ini.

Di samping pakej pelancongan, perkhidmatan hotel, inap desa, pemandu pelancong, program acara pelancongan, pengangkutan, seni budaya dan daerah terbaik turut disampaikan dalam majlis tersebut.

“Majlis penyampaian anugerah ini dijangka akan disempurnakan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar,” tambah beliau.


Tag: