• 17 Apr 2024 | 8 Syawal 1445

APM Siap Sedia Hadapi Banjir Dengan SOP Norma Baharu

KUALA TERENGGANU, 27 Oktober – Angkatan  Pertahanan Awam Malaysia(APM) Terengganu serta agensi berkaitan dalam pengurusan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) kini bersedia mengikuti norma baharu akibat pandemik COVID-19 bagi mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, latihan dan ‘table talk’ telah diadakan untuk menyelaraskan pengurusan PPS norma baharu  menjadikan  negeri ini antara yang terawal mengadakan program sebegitu agar semua daerah memahami prosedur tugas, operasi dan logistik.

“Contohnya sebelum pandemik, operasi melibatkan 20 orang anggota penyelamat menaiki sebuah lori, sekarang kita telah tukar prosedur tersebut dengan penambahan bahagian logistik seperti lori APM, lori Polis, lori Bomba dan lain-lain.

“Katakan kita perlu hantar 50 orang anggota, jadi kini 10 sahaja selori untuk mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dan penjarakan sosial, bot-bot begitu juga.Di peringkat PPS pula, kita bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) (agensi pengurusan PPS) dalam memastikan pusat tersebut mengikuti jarak fizikal yang betul.

“Cabaran di menggunakan sekolah adalah ia bertindan dengan takwim sekolah yang telah berubah. Dengan pihak Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), kita mendapat maklumbalas dan mungkin akan menutup sekolah sementara mengikut budi bicara,” katanya ketika bersiaran di Studio TVDI, semalam.

Mengulas mengenai SOP di sekolah (PPS), bilik darjah akan disesuaikan seperti satu bilik dua keluarga berbanding empat, sekali dengan pendinding.

“JKM juga memaklumkan tidak membenarkan memasak di PPS, namun begitu, ia mengikut kesesuaian pusat daerah masing-masing seperti di Kuala Nerus menggunakan ‘Caterer’ manakala kaedah sesuai akan dirangka seperti di Hulu Besut dan Hulu Terengganu,"jelasnya lagi.

Beliau yang juga Setiausaha Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu, turut mengulas, dua cabaran dalam pengendalian bencana banjir norma baharu adalah proses pemindahan dan keadaan mangsa di PPS.

“Contoh senario proses pemindahan seperti pukul dua atau tiga pagi dengan jumlah bot sedikit bersama arus deras, pasukan mungkin akan buat keputusan untuk selamatkan dan pentingkan nyawa dulu.

“Cabaran PPS pula, contohnya terlalu ramai hadir dan komuniti hanya ada satu dewan kecil, jadi sekretariat daerah berkenaan akan cari alternatif dengan menggunakan rumah atau tadika sebagai tempat sementara.

“Alhamdullilah, dengan kerjasama JKM, APM, setiap Pejabat Daerah yang masih berterusan akan memastikan keselamatan penduduk dalam menghadapi bencana norma baharu ini,” ujar Che Adam.