• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

APM Terengganu Minta Orang Ramai Tidak Cemas Limpahan Air Akibat Hujan Lebat


Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu meminta orang ramai tidak cemas berikutan banyak gambar air melimpah jalan diviralkan di media sosial di beberapa kawasan di negeri ini berikutan hujan lebat sejak 4 pagi, hari ini.

Pengarah APM negeri Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, keadaan itu berlaku berikutan masalah perparitan di kawasan terbabit.


"Saya difahamkan, kerajaan negeri melalui Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri sudah mengarahkan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) meninjau sistem perparitan di kawasan yang mengalami masalah.

"APM juga akan turut membuat rondaan di kawasan dilaporkan berlaku limpahan air terutama di sekitar Kuala Terengganu, Kuala Nerus dan Marang bagi memastikan bantuan dapat diberi segera sekiranya keadaan bertambah buruk," katanya.

Menurutnya, orang ramai tidak perlu berasa bimbang dan cemas tetapi sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga dengan arahan dikeluarkan pihak berkuasa.

Tag: