• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

APM Terengganu Siap Siaga Bantu Mangsa Banjir

KUALA NERUS, 28 Oktober - Seramai 2,779 petugas daripada enam agensi penyelamat di negeri ini bersiap siaga digerakkan bagi membantu mangsa-mangsa banjir, tahun ini.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri, Leftenan Kolonel (PA) Mohd. Rosman Abdullah berkata, mereka terdiri daripada 833 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di samping 803 polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (517 orang), Jabatan Sukarelawan Malaysia (376 orang), Angkatan Tentera Malaysia (208 orang) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (42 orang).

Katanya, dari segi logistik, kesemua agensi berkenaan memiliki 163 bot, 132 kenderaan pacuan empat roda, 62 lori dan 24 ambulans.

“Besut diramal daerah terawal dilanda banjir pada awal November sebelum merebak ke daerah lain.

“Sehubungan itu, kita sudah mempersiapkan sebanyak 580 pusat pemindahan sementara (PPS) bagi menempatkan sehingga 270,000 mangsa dengan 80 peratus daripadanya merupakan bangunan sekolah,” katanya dalam sidang media persediaan menghadapi monsun timur laut di sini hari ini.

Sementara itu, Mohd. Rosman berkata, hampir RM6 juta bantuan wang ihsan disalurkan kepada lebih 11,000 ketua isi rumah yang terjejas banjir, tahun lalu.

Katanya, bantuan kewangan berkenaan ditingkatkan sekali ganda daripada RM500 kepada RM1,000 seperti diumumkan kerajaan, September lalu.


Tag: