• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

APM Terus Pantau Keadaan Banjir, Paras Air Sungai

KUALA TERENGGANU,18 November – Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri terus memantau perkembangan banjir dan kenaikan paras air sungai di Terengganu.

Pengarah APM negeri, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman memaklumkan, pihaknya telah meninjau kenaikan air pasang di hiliran sungai, Kuala Terengganu semalam dan hasil pemantauan mendapati kenaikan paras air tersebut ialah fasa awal musim tengkujuh seperti dimaklumkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pada petang semalam.

“MetMalaysia telah menjangkakan notis amaran cuaca buruk (amaran jingga), hasil pemantauan APMM di sekitar Terengganu mendapati waktu kemuncak air pasang dengan peningkatan 2.4 meter pada jam 11 malam ini.

“Namun begitu, alhamdullilah hujan lebat telah berhenti pada lewat petang sehingga malam ini dan tiada pemindahan yang berlaku di kawasan berdekatan. Kesiapsiagaan pasukan APMM di seluruh negeri sedang giat dengan pemantauan berterusan.

“Pihak kami turut bekerjasama dan memaklumkan semua daerah dan sekretariat pengurusan bencana setiap daerah untuk bersiap sedia jika ada hujan lebat kerana kebarangkalian boleh berlaku pemindahan pada bila-bila masa,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas kerja pemantauan air pasang di Jeti Losong Ferry dan di Pulau Warisan, malam semalam.

Mengulas berkenaan kawasan berisiko untuk dinaiki air, beliau berkata, Hulu Terengganu, Hulu Besut, Setiu, Kemaman dan Dungun adalah diantara kawasan yang diberi tumpuan atas faktor seperti komposisi air di hulu tidak dapat mengalir keluar laut. 

“Terutama di kawasan berhampiran sungai seperti di Losong, Pulau Sekati, Pulau Rusa dan Manir. 

“Pihak berkuasa menasihati penduduk terutama di kawasan berisiko seperti di tepi sungai untuk bertindak awal atas sebab potensi kenaikan air dan memindahkan kenderaan mereka ke kawasan selamat,” ulasnya.