• 23 Apr 2024 | 14 Syawal 1445

APMM Sumbang Bot Vietnam Bagi Penyelidikan UMT

SETIU, 8 April - Buat pertama kalinya, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menyumbangkan dua bot nelayan Vietnam yang dilucut hak kepada Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bagi tujuan penyelidikan.

Vessel lucut hak itu merupakan hasil OP KUDA LAUT yang dilaksanakan sepanjang tahun lepas oleh Kapal Maritim (KM) SATRIA dan KM MULIA dan dilabuhkan di perairan dengan kedalaman 13 hingga 15 meter pada kira-kira 600 meter dari pantai Stesen Penyelidikan Alami Marin UMT di Pulau Bidong.

Pengarah Bahagian Keselamatan dan Pengawasan Maritim, Laksamana Muda (M), Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata, program pelupusan tersebut mengukuhkan lagi kerjasama antara kedua-dua pihak.

"Sebelum ini APMM dan UMT turut terlibat dalam program Eksesais Maritim sempena Hari Kemerdekaan pada tahun lalu.

"Selain daripada Universiti Malaysia Terengganu, program pelupusan bot ini turut mendapat kerjasama Jabatan Perikanan Malaysia, Jabatan Laut Malaysia serta Institut Sumber Marin Asia Tenggara (ISMAT)," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas program Melabuhkan Tukun Vessel Lucut Hak di Pulau Bidong, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMT, Prof. Ts. Dr. Mohd Zamri b. Ibrahim dan Pengarah APMM Terengganu, Kapten (M) Muhammad Suffi Mohd Ramli.

Mewakili Naib Canselor UMT, Dr. Zamri Ibrahim turut merakamkan rasa terima kasih atas sumbangan khusus APMM.

"Vessel-vessel lucut hak yang dijadikan tukun ini membolehkan pelajar dan penyelidik UMT menjalankan aktiviti pengajawan dan pembelajaran serta penyelidikan berkaitan sumber perikanan dan beberapa aspek sains marin yang lain.

"Program ini juga diharap dapat mengukuhkan hubungan antara UMT, agensi penguatkuasaan, kerajaan negeri dan masyarakat disamping dapat meningkatkan kesedaran dan keprihatinan masyarakat terhadap alam sekitar dan kelestarian sumber perikanan negara," katanya.

Program kali ini merupakan pelupusan kesembilan dalam tahun ini oleh Maritim Negeri Terengganu dan dijangkakan sebanyak 38 bot lagi bakal ditenggelamkan setelah mendapat pelucutan hak daripada mahkamah.

Sehingga kini, sejumlah 104 bot telah ditenggelamkan sebagai tukun di sepanjang perairan Terengganu oleh Maritim Negeri Terengganu dengan anggaran nilai RM156 juta.