• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Aroma Dapur Kayu Warung Mek Lamah Sajikan Kelainan

HULU TERENGGANU, 16 Ogos - Biarpun terpaksa ‘bertemankan’ bahang dan asap, Warung Mek Lamah, di sini tetap setia menggunakan dapur kayu sejak Mac 2020.

Terletak di jambatan yang menuju ke Kampung Dusun, warung yang dikendalikan oleh pasangan suami-isteri Abdullah Ali, 62, dan Jalamah, 59, juga pemilik nama Mek Lamah berkata, memasak menggunakan kayu api berbanding dapur gas dikatakan menjadikan masakan lebih lazat dan membangkitkan  rasa yang mengasyikkan. 

“Apa yang istimewanya memasak menggunakan dapur kayu ialah aroma smoky ataupun kayu bakar yang akan terhasil pada nasi ataupun air yang direbus, menjadikannya  cukup istimewa dan meninggalkan memori yang sukar dilupakan.

"Kami mengekalkan resipi turun-temurun keluarga untuk memastikan keenakan masakan lauk pauk  walaupun pedih mata dimasuki asap kayu api tetapi saya tetap tidak mahu menggunakan dapur gas sebab rasanya ebih wangi, dan lebih menggoda selera makan,”katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman(UPDI) ketika ditemui.

Menurut Mek Lamah, beliau  amat mementingkan kesempurnaan untuk memastikan pelanggan tempatan atau luar benar-benar menikmati hidangan yang disajikan.

Justeru itu katanya, dia hanya menggunakan bahan segar untuk memastikan keenakan juadah yang terdapat di warung mereka.

Terdapat lebih 10 jenis masakan di warung Mek Lamah termasuk lauk pauk serta ulam-ulaman dan kerabunya yang unik.

Antara juadah yang menjadi pilihan utama adalah baung masak tempoyak dan masakan berasaskan daging salai yang diproses sendiri.

Pengunjung juga boleh menikmati suasana santai ketika makan berlatarbelakangkan suasana dusun buah-buahan menjadikan ia lokasi unik sesuai kepada mereka yang gemarkan ketenangan jauh dari hiruk pikuk bunyi bising.

Sementara itu, rata-rata pengunjung turut teruja dengan kaedah memasak yang digunakan dan mengimbau kenangan mereka ketika masih kecil.

Bagi pasangan suami isteri, Alias Kassim, 46 dan isteri, Sabariah Musa, 44, dari Kemaman, mereka sanggup datang dari jauh semata-mata ingin sesuatu kelainan ketika menikmati hidangan dan suasana kampung. 

“Teringat zaman kecil..kalau tak pandai menyalakan dapur kayu, alamat tak berasap dapur dan tak dapat makanlah satu rumah. Sebelum tu kena cari dan membelah kayu api dulu.Kena sentiasa penuhkan gobok bawah dapur untuk memudahkan memasak . 

“Tetapi itu semua hanya tinggal nostalgia saja dan jika nak mengimbau zaman kecil pasti saya akan datang ke sini serta menikmati masakan yang mampu menghapuskan kerinduan terhadap kenangan lama,”katanya.

Bagi kakitangan awam, Khairi Abd Ghani berkata, warung mek Lamah menjadi pilihan utama jika inginkan hidangan ala kampung.

”Menjadi rutin saya datang ke sini sebab makanan dia semua enak belaka dan suasana sekitarpun menarik,”ujarnya.