• 16 Apr 2024 | 7 Syawal 1445

Asiah Sebak Dapat Beraya Di Rumah Baharu

KUALA NERUS, 18 April – Sambutan Aidilfitri kali ini pasti lebih bermakna buat enam beranak selepas mereka menerima rumah baharu dalam Program Perumahan Terengganu Sejahtera (PPTS) baru-baru ini

Asiah Jusoh, 45, dari Kampung Bukit Tok Beng, Seberang Takir di sini mengakui sebak dan terharu kerana hasrat untuk beraya di kediaman baharu tercapai.

“Alhamdulillah, rezeki bagi saya insya-Allah, inilah sebuah rumah yang ditunggu-tunggu walaupun tak sehebat rumah orang lain dan yang penting dapat saya duduki pada Ramadan tahun ini seterusnya pada hari raya aidilfitri nanti.

“Sekian lama saya nantikan kerana sebelum ni hanya dengan menyewa,” tambahnya lagi.

Dia berkata demikian ketika ditemui media di Majlis Penyerahan Kunci Rumah PPTS DUN Seberang Takir yang disempurnakan Pegawai Penyelaras DUN Seberang Takir, baru-baru ini.

Kata Asiah, pemberian itu juga mengembirakan empat lagi anak-anaknya dan suaminya, Sharim Ismail Mohd Zain yang hanya bekerja sebagai pembantu kedai.

“Selepas ini mereka dapat belajar dan berehat dengan lebih selesa berbanding sebelum ini, terima kasih kepada kerajaan,” jelasnya.

Sementara itu, Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir, Mohd Fazil Wahab berkata, objektif utama penyediaan  kediaman baharu adalah memberi  tempat tinggal yang selesa kepada asnaf fakir atau miskin sebagai salah satu penyelesaian masalah miskin tegar di Seberang Takir.

“Kerajaan negeri sentiasa komited menyediakan rumah sendiri kepada rakyat terengganu disamping menepati syarat-syarat yang ditetap,” ujarnya selepas majlis penyerahan replika kunci rumah.


Tag: