KUALA TERENGGANU, 24 Julai – Bermula sebagai seorang remaja yang meminati silat pada usia 14 tahun, Asma' Mohd Nazri kini muncul antara atlet pencak silat negara yang berjaya mengharumkan nama Malaysia dan Terengganu menerusi pelbagai kejohanan antarabangsa.
Anak kelahiran Kuala Pilah, Negeri Sembilan yang kini menetap di Kampung Bukit Diman, Ajil itu berkata, penglibatan aktifnya dalam pertandingan bermula ketika berusia 19 tahun sebelum menyertai Sukan Malaysia (SUKMA) 2022.
Menurut Asma', SUKMA 2022 menjadi penampilan pertama dan terakhirnya apabila berjaya meraih pingat perak dalam kategori tunggal puteri, sebelum meraih pingat emas pada Kejohanan Kebangsaan 2022 bagi kategori regu puteri yang membuka laluan untuk menyertai skuad kebangsaan.
"Pengalaman saya dalam silat sebenarnya agak baharu kerana sebelum ini saya aktif dalam sukan olahraga. Alhamdulillah, ini rezeki saya dan peluang untuk mewakili Malaysia," jelasnya ketika ditemui media di Perkarangan Lapangan Terbang Sultan Mahmud, di sini, pada Jumaat.

"Cabaran memang banyak. Orang luar mungkin tidak nampak pengorbanan masa, tenaga dan penat lelah yang diperlukan. Alhamdulillah, segala usaha itu membuahkan hasil," katanya.
Sejak menyarung jersi negara, Asma' mencipta pelbagai kejayaan termasuk meraih emas pada 1st Central Asian Open Pencak Silat Championship 2024, Kejohanan Pencak Silat Asia Ke-8 (2024), Open Belgium 2026 dan Kejohanan Pencak Silat Asia Ke-10 (2026).
Beliau turut meraih pingat perak pada Kejohanan Dunia Pencak Silat Ke-20 (2024), 1st Nusantara Championship 2025 serta Kejohanan Pencak Silat Asia Ke-9 (2025).
Lulusan Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah yang juga bekas pelajar SK Bukit Diman dan SMA Mahmudiah itu berharap lebih ramai anak muda berani menceburi sukan silat serta tidak mudah berputus asa.
"Kalau kita jatuh, bangkit dan cuba lagi. Jangan berhenti di tengah jalan. Yakin dengan kemampuan diri, insya-Allah kita juga mampu mewakili Malaysia dan bersaing di peringkat antarabangsa," katanya.
Asma', anak sulung daripada tiga beradik yang mempunyai pasangan kembar, dijadualkan meneruskan cabaran bersama skuad negara dalam kejohanan di Vietnam pada September ini sebelum beraksi di Uzbekistan pada Disember nanti.