KUALA TERENGGANU, 14 Januari – Seramai 60 petugas diraikan dalam Majlis Aspresiasi Hi-Tea Jawatankuasa Kecil Program Sambutan 100 Tahun Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Sulaiman (SMKSS) yang diadakan di Dewan Laman Polo, Terengganu Equestrian Resort (TER), semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Kecil Program Sambutan 100 Tahun SMKSS, Tengku Seri Bijaya Raja berkata, majlis tersebut bukan sahaja menghargai petugas yang bekerja keras menjayakan pelbagai acara sempena sambutan berkenaan, malah mengeratkan lagi silaturahim semasa petugas.
Pada majlis itu, beliau yang mewakili Jawatankuasa Sambutan 100 Tahun SMKSS turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM300,000 kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMKSS.
“Kita adakan banyak program sebenarnya termasuk sukan, aktiviti di sekolah itu sendiri, makan malam dan lain-lain. Hasil daripada program-program itu kita buat kutipan, hasrat asalnya nak bagi kepada sekolah melalui PIBG untuk buat dewan terbuka.
“Tetapi alhamdullah tahun ini dimaklumkan oleh pihak sekolah projek (dewan terbuka) berkenaan telah dimasukkan dalam rancangan kerajaan,” ujarnya.
“Antaranya kita mahu pihak sekolah menggunakan dana tersebut untuk membeli kelengkapan ‘smart classroom’, pembelian van sekolah serta peralatan gamelan, itu hasrat kita,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru alumni SMKSS untuk bersatu hati membantu mencukupkan keperluan serta memenuhi kebajikan sekolah.
“Kita mengharapkan sumbangan RM300,000 itu sebagai tabung permulaan untuk kita terus bersama-sama membantu sekolah,” ujarnya.