• 09 Okt 2024 | 06 Rabiul Akhir 1446

Atasi Jurang Ekonomi Desa dan Bandar

KUALA LUMPUR, 18 September – Kerajaan Persekutuan digesa mengambil langkah yang proaktif bagi merapatkan jurang pendapatan dan ekonomi antara penduduk luar bandar dan bandar khususnya di negeri pantai timur.

Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir berkata, cabaran utama ekonomi pada hari ini adalah pembangunan wilayah yang tidak seimbang dan jurang melebar antara dua segmen terbabit.

“Sehingga kini, hampir 10 tahun lebih Majlis Pembangunan Ekonomi Wilayah Timur (ECER) telah ditubuhkan bagi menangani isu ini, namun, saya menzahirkan rasa kebimbangan apabila meneliti teks ucapan Perdana Menteri dalam sesi pembentangan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kedua Belas (KSP RMKe-12) tempoh hari tidak menekankan berkenaan projek-projek di bawah ECER.

“Sedangkan projek-projek tersebut amat memberi sumbangan yang besar kepada pembangunan ekonomi wilayah timur secara khusus.

“Antaranya, isu pembinaan Lebuhraya Pantai Timur 3 (LPT3) langsung tidak dibangkitkan, berdasarkan jawapan menteri sebelum ini di Parlimen, kos kerja-kerja awalan sebanyak RM35juta telah diperuntukkan," ujarnya dalam sesi perbahasan.

Beliau turut bertanya, apakah status terkini pembinaan dan jangkaan dimulakan pembinaan lebuhraya tersebut.

Dalam pada itu, beliau juga menyatakan pembinaan LPT 3 akan mengambil masa yang agak panjang dan memohon agar jalan dari Gemuruh ke Besut dibesarkan. 

“Saya mendapat banyak rungutan bahawa jalan tersebut sering kali mengalami kesesakan terutama di musim perayaan kerana ia merupakan penamat kepada lebuh raya untuk pengguna.

“Oleh itu, penyelesaian jangka pendek dengan melebarkan jalan tersebut amat diperlukan segera. 

“Selain itu, saya juga memohon agar jalan tersebut segera dibaik pulih. jalan berlubang, garisan putih yang telah kabur dan lain-lain lagi memerlukan perhatian dari pihak kerajaan," beliau berkata demikian di Sidang Parlimen hari ini dalam membahaskan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kedua Belas (KSP RMKe-12).


Tag: