• 09 Mei 2024 | 1 Zulkaedah 1445

Atlet Terengganu ke Sukan SEA Terima Insentif RM136,000

KUALA NERUS, 8 Jun- Kerajaan negeri melalui Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) menyampaikan insentif sebanyak RM136,000 bagi menghargai sumbangan atlet Terengganu dalam Sukan SEA 2023, yang berlangsung pada bulan Mei lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, insentif yang disampaikan terdiri daripada Skim Wakil Negara (SWARA) iaitu sebanyak RM54,000 dan Skim Hadiah Kemenangan (SHAKE) berjumlah RM82,000.

"Program ini diadakan sebagai menghargai atlet Terengganu yang telah berjaya menyertai Sukan SEA di Phnom Penh, Kemboja, baru-baru ini.

"Daripada seramai 54 atlet dan pegawai, kita telah memenangi lima Emas, lapan Perak dan 13 Gangsa (30 atlet daripada 13 acara sukan).

"Hari ini kita menyampaikan insentif SWARA (RM1,000 seorang) dan SHAKE sebanyak RM4,000 bagi pingat Emas, RM3,000 (Perak) dan RM2,000 (Gangsa) untuk acara individu," katanya.

Tambahnya, bagi acara berkumpulan, insentif diberikan sebanyak RM2,500 (Emas), Perak berjumlah RM2,000 dan Gangsa pula, RM1,500.

Penyerahan itu disampaikan beliau dalam Majlis Apresiasi Atlet Terengganu Sukan SEA 2023, di Ar-Riyadah Residence, hari ini.

Hadir sama timbalannya, Hishamuddin Abdul Karim; Pengarah MSNT, Ahmad Shahrizal Yahaya, serta barisan Ahli Jawatankuasa Pengurus Majlis Sukan Negeri Terengganu.

Wan Sukairi turut berharap, dengan insentif yang disampaikan, ia memberi semangat kepada atlet-atlet negeri untuk terus melakukan yang terbaik dalam sukan seterusnya berjaya mewakili negara.

"Dalam majlis ini juga turut disampaikan insentif Skim Hadiah Kemenangan (SHAKE) yang berjumlah RM 29,900.00 kepada atlet-atlet berbasikal yang telah memenangi pingat iaitu tujuh Emas, dua Perak, tujuh Gangsa dalam Kejohanan Berbasikal Trek Kebangsaan 2023, Nilai, Negeri Sembilan yang telah berlangsung bulan lalu.


Tag: