HULU TERENGGANU, 29 Mac – Semangat “Terengganu Nelang” kini kembali membara apabila keseluruhan atlet daripada 35 acara sukan yang bakal mewakili Negeri Terengganu ke temasya Sukan Malaysia (SUKMA) ke-22 kini berada dalam fasa persediaan rapi menerusi Kem Pemantapan Terengganu Nelang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong, Mohd Zawawi Ismail berkata, kem yang diadakan di Akademi Binaan Malaysia (ABM) Jenagor itu, bertujuan mengukuhkan jati diri dan persediaan mental para atlet sebelum menggalas cabaran di Selangor pada Julai tahun ini.

“Saya mengharapkan setiap peserta dapat berusaha dengan sehabis baik dan memberikan tumpuan sepenuhnya sepanjang kem ini berlangsung.
“Kejayaan tidak datang bergolek, maka semangat juang yang tinggi amat diperlukan bagi memastikan sasaran pingat emas dapat dibawa pulang ke bumi Terengganu,” katanya ketika menyantuni para atlet di kem tersebut, baru-baru ini.
Hadir sama dalam program tersebut ialah Timbalan Pengarah (Pembangunan) Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Dr. Nasree Najmi serta Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan Masyarakat) Pejabat Daerah Hulu Terengganu, Muhammad Ariff Syahdan Ab Razak.

Untuk rekod, Terengganu terus mensasarkan keputusan cemerlang pada edisi SUKMA kali ini bagi mengekalkan reputasi sebagai antara kuasa besar sukan di Malaysia.