• 14 Okt 2024 | 11 Rabiul Akhir 1446

Atlet Terengganu Sumbang Emas Ke 37 Untuk Malaysia

HANOI, 21 Mei - Pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Muhammad Nur Aiman Mohd Zariff yang mewakili negara dalam temasya Sukan Asia Tenggara (SEA) ke-31 berjaya merangkul pingat emas acara lebuh raya lelaki yang berlangsung di Wilayah Hoa Binh.

Beliau yang menampilkan pecutan bertenaga ketika perlumbaan berbaki 1 km untuk sampai ke garisan penamat berjaya menyumbangkan pingat emas ke-37 negara pada temasya itu kali ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, kerajaan negeri Terengganu amat berbangga dengan pencapaian yang diraih ini. 

“Bagi pihak kerajaan negeri Terengganu, saya merakamkan ucapan tahniah buat Muhammad Nur Aiman Mohd Zariff yang berjaya mengharumkan nama negara dan negeri Terengganu.

“Kerajaan negeri Terengganu juga ingin turut mengucapkan tahniah kepada Nur Amirull Fakhruddin Mazuki yang turut mewakili negara dan berjaya mendapat tempat ke-31 dengan catatan masa 4 jam 4 minit 48 saat,"katanya.

Tambah beliau, kejayaan ini cukup bermakna apabila kali terakhir Malaysia memenangi acara tersebut ketika temasya sukan SEA kali ke-28 di Singapura yang turut dimenangi oleh pelumba Terengganu, Hariff Salleh.

Untuk rekod, Muhammad Nur Aiman yang merupakan anak jati dari daerah Setiu itu berjaya melintasi garisan penamat dengan catatan masa 3 jam 48 minit 22 saat, mengatasi pencabarnya dari Indonesia Aiman Cahya di tempat kedua dan pelumba Thailand Navuti Liphongyu di tempat ketiga.

Wan Sukairi serta delegasi kerajaan negeri Terengganu yang turut hadir di tempat acara perlumbaan berlansung turut memberi semangat kepada para pelumba negara selain turut menyampaikan Insentif Skim Wakil Negara (SWARA) sebanyak RM 1,000.

“Saya juga telah menyerahkan insentif SWARA kepada kedua-dua pelumba sebagai tanda penghargaan dan motivasi bagi meningkatkan semangat atlet untuk bersaing di peringkat tertinggi”.

Selain itu, beliau turut menyerahkan insentif SWARA kepada dua orang pelumba wanita Terengganu yang turut mewakili negara dalam temasya sukan SEA bagi acara berbasikal lebuhraya.

Dua orang pelumba tersebut ialah Nur Aisyah Mohamad Zubir dan Nur Aisyah Munirah Chek Ramli yang akan berentap pada 22 Mei 2022.

Wan Sukairi turut berharap agar kedua-dua pelumba tersebut dapat mencipta rekod sekaligus mendapat pingat dalam acara berbasikal lebuhraya yang akan diadakan di Wilayah Hoa Binh.

 

 

 

 

 

 


Tag: