lightning-solid
Berita :
AUT 2025 Perkukuh Peranan Usahawan Berjaya Sebagai Mentor Generasi Baharu
AUT 2025 Perkukuh Peranan Usahawan Berjaya Sebagai Mentor Generasi Baharu
Noraini Jusoh
26 Nov 25
171

KUALA TERENGGANU, 26 November - Kejayaan agenda keusahawanan negeri tidak akan lengkap tanpa penglibatan usahawan yang telah menempa nama di mana mereka merupakan mentor hidup kepada generasi baru.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Dato’ Ariffin Deraman berkata, pengalaman, tunjuk ajar dan bimbingan daripada usahawan berjaya merupakan rujukan berharga yang mampu mempercepat proses pembelajaran usahawan baharu.

0d85e0b4-3cde-41bc-9f0b-974c963c0279.jpg 434.77 KB
“Saya yakin ramai antara kita telah melalui liku dan cabaran yang sukar apabila memulakan perniagaan. Oleh itu, peranan usahawan berjaya untuk berkongsi pengalaman dari fasa permulaan hingga ke tahap matang amat penting.

“Bukan sahaja sekadar inspirasi, bahkan juga dari aspek praktikal meliputi teknik pemasaran, pengurusan modal, jaringan perniagaan dan ketahanan menghadapi cabaran ekonomi semasa,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Perasmian Anugerah Usahawan Terengganu (AUT) 2025 di Hotel Permai, semalam.

Mengulas lanjut katanya, AUT 2025 yang dianjurkan Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) dan semua agensi di bawah Urusetia Pembangunan Usahawan Terengganu (PEUTER) merupakan platform tepat untuk menyemai semangat tersebut di mana usahawan yang berjaya dihargai dan dijadikan contoh serta pada masa sama memberi bimbingan dan rangka sokongan kepada usahawan muda. 

337a71de-b74e-480c-8ab8-79e2a0eaae4e.jpg 468.21 KB
Dalam pada itu Ariffin berkata, Kerajaan Negeri akan memberikan penumpuan kepada memperkukuh pembangunan ekonomi dan keusahawanan menjelang tahun hadapan.

“Kita akan berusaha mempergiatkan ekosistem perniagaan yang kondusif, memperluas sokongan kepada usahawan, membangunkan kapasiti perniagaan dan memudahkan akses ke pasaran samada di peringkat domestik mahupun antarabangsa,” ujarnya.

Selain itu katanya, berdasarkan kejayaan program Usahawan Belia Sejahtera (U-BES) yang dilaksanakan YPU, Kerajaan Negeri telah memutuskan untuk meneruskan inisiatif berkenaan pada tahun hadapan, termasuk memperluaskan pemilihan peserta kepada golongan B40 dan asnaf. 

“Kejayaan sesuatu program akan lebih baik apabila dilaksanakan bersama agensi-agensi berkaitan secara strategik. 

“Justeru, semua pihak diseru untuk terus berganding bahu demi merancakkan ekonomi negeri melalui perniagaan ini,” ujarnya.

Ariffin memaklumkan, sejumlah 75,938 entiti perniagaan telah didaftarkan di Terengganu setakat 30 September lalu dan beliau yakin angka tersebut akan terus meningkat selari dengan hasrat kerajaan untuk memperkasakan ekonomi negeri. 


Artikel Berkaitan