• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Awas Kaki Ponteng Solat Jumaat!

KUALA TERENGGANU, 25 Januari - Kaki ponteng solat Jumaat di Terengganu diberi amaran keras agar tidak terus melakukan perbuatan itu selepas Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) sudah mula menggiatkan operasi pencegahan.

Ketua Penolong Pesuruhjaya Bahagian Penguatkuasaan Syariah JHEAT, Md Adnan Abdullah berkata, pada Jumaat lepas pihaknya bersama 22 Pegawai Penguatkuasa Syariah (PPS) Ibu Pejabat dan Dungun telah turun padang melakukan tinjauan di kawasan tumpuan orang ramai.

Katanya, operasi bermula pada jam 11.00 pagi itu mengfokuskan lokasi sekitar Pantai Sura, Pantai Teluk Gadong, Taman Arena Merdeka, Taman Permainan Masjid an-Naim dan Pantai Teluk Lipat.

“Kita turun padang mendekati golongan ini dan menasihatkan mereka menunaikan solat Jumaat. Ada sesetengah mereka ini menunaikan solat Jumaat namun dilihat melengah-lengahkan masa untuk masuk ke masjid berhampiran.

“Kami tidak teragak-agak untuk menangkap mereka. Tangkapan yang dilakukan bukan untuk menghukum atau memalukan mereka tetapi sebagai peringatan kepada kewajipan sebagai seorang Muslim,” katanya kepada UPDI hari ini.

Ujarnya, kaki ponteng jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.
 
Dalam pada itu, Md Adnan turut berkata, selepas Solat Jumaat anggota PPS telah mengadakan operasi pemeriksaan berwaran ke atas premis-premis hotel dan rumah tumpangan di daerah Dungun. 

“Hasil pemeriksaan yang dijalankan berjaya menahan sepasang kekasih kerana disyaki berkhalwat.

“Pasangan terbabit boleh didakwa di bawah Seksyen 31 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001 atas perbuatan itu,” tambah beliau.


Tag: