• 03 Nov 2024 | 01 Jamadil Awal 1446

Awas Taktik Pihak Tertentu Perguna Bantuan Kerajaan Negeri

KUALA TERENGGANU, 28 Januari - Rakyat Terengganu dinasihat supaya berhati-hati dengan pihak tertentu yang menggunakan bantuan kerajaan negeri demi kepentingan sendiri.

Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pemberian wang tunai sehingga RM400 pada musim perayaan, i-Fitri merupakan inisiatif kerajaan negeri kepada golongan memerlukan yang tidak wajar dijadikan bahan mengaut keuntungan.

"Pautan laman ini (iklan semakan bantuan i-fitri) adalah bukan daripada Kerajaan Negeri Terengganu. Didapati ia juga berlegar dalam group WhatsApp.

"Group WhatsApp yang ditubuhkan juga bukan bawah kendalian mana-mana agensi Kerajaan Negeri," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Antara pautan semakan kelayakan yang tidak benar. Bantuan tetap diberi, tetapi pautan ini tidak benar.

Ahmad Samsuri menyeru orang ramai agar mendapatkan maklumat tepat dan sahih berkaitan Kerajaan Terengganu daripada laman Facebook Urus Setia Penerangan Darul Iman - UPDI.

"Masyarakat Terengganu juga boleh menyertai Telegram Rasmi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI)
https://t.me/updi_terengganu," katanya.

Sebelum ini, Ahmad Samsuri Mokhtar ketika membentangkan Belanjawan 2022 mengumumkan pemberian bantuan tersebut kepada rakyat.

"Bantuan berjumlah RM400 kepada 31,500 isi rumah miskin itu akan disalurkan menjelang hari raya nanti.

"Bagi isi rumah berpendapatan antara RM2,500 hingga RM5,000 pula, bantuan i-Fitri diberikan adalah RM250 melibatkan 83,500 penerima," tambah beliau.

Hasil semakan Urus Setia Penerangan di media sosial, terdapat beberapa laman web menggunakan bantuan kerajaan negeri.

Iklan itu dipercayai bertujuan mencuri maklumat peribadi individu dan pengguna yang ke laman web tersebut.


Tag: