• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

Ayahanda Saudara Sultan Terengganu Selamat Dimakamkan

 

 

KUALA TERENGGANU, 14 Ogos - Jenazah Yang Amat Mulia Tengku Sri Laksamana Raja Tengku Sulaiman Ibni Almarhum Sultan Ismail Nasiruddin Shah, 80, selamat dimakamkan di Makam Diraja Masjid Abidin , kira-kira jam 9.30 malam tadi.

Allahyarham Tengku Sulaiman adalah ayahanda saudara kepada Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.

Jenazah Allahyarham Tengku Sulaiman dibawa dengan usungan Seraja Diraja kira-kira dua kilometer pada jam 8.00 malam oleh anggota keselamatan daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM)  dari Istana Maziah dan tiba di Makam Diraja Masjid Abidin  kira-kira 8.15 malam.

Perarakan turut diiringi dua anakanda Sultan Mizan, Yang Dipertuan Muda Terengganu Tengku Muhammad Ismail dan Tengku Setia Mahkota Raja Tengku Muhammad Mua'az dengan berjalan kaki sehingga ke Makam Diraja.

Sultan Mizan berkenan mencemar duli menziarahi pemakaman.

Bacaan talkin diimamkan Mufti Terengganu, Dato' Dr. Zulkifli Muda.

Turut hadir sama, Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Zahari Md Azahar dan kerabat-kerabat Diraja.

 

Jenazah sebelum itu tiba di di Lapangan Terbang Sultan Mahmud dari Kuala Lumpur dengan pesawat khas Tentera Udara Diraja Malaysia pada jam 5.02 petang dan kemudiannya dibawa ke Balai Islam untuk penghormatan terakhir.

Tengku Sri Laksamana Raja Tengku Sulaiman mangkat pukul 10.15 pagi tadi di Gleaneagles Hospital, Kuala Lumpur. kerana jangkitan pada paru-paru dan buah pinggang.


Tag: