• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

'Azhari' Perlu Jadi Ejen Pendamai - Dato' Husain Awang

KUALA TERENGGANU, 15 Julai- Para alumni Universiti Al-Azhar atau lebih dikenali sebagai Azhari perlu bertindak sebagai pendamai dalam kemelut pertikaian pemikiran antara golongan salafi dan Asya'irah Maturidiyyah.

Ahli Dewan Negara, Senator Dato' Husain Awang yang juga alumni Al-Azhar berkata, Al-Azhar As-Syarif, sebuah institusi pendidikan tinggi yang ditubuhkan lebih 1500 tahun lalu telah mencetak generasi demi generasi yang menyumbang kepada kegemilangan Islam itu sendiri.

"Dalam konteks Malaysia, Al-Azhar telah menjadi pusat naungan ilmu kepada lebih 15000 pelajar sejak ia ditubuhkan dan telah memberi sumbangan yang amat signifikan ke arah kemajuan tanah air melalui pelbagai bidang, antaranya ialah pendidikan, politik, ekonomi Islam dan lain-lain.

"Sistem pendidikan yang bersifat terbuka bersesuaian dengan pendekatan demokrasi pendidikan yang memberi laluan kepada semua golongan untuk menuntut dan mendalami ilmu Islam.

"Maka, keberuntungan yang diperolehi oleh para Azhari wajar dimanfaatkan sebaiknya dengan menyumbang mengikut bidang masing-masing sekali gus mengalirnya ilmu yang bermanfaat buat semua," pesannya dalam ucaptama Majlis Makan Malam bersama Alumni Al-Azhar di Primula Beach Hotel, hari ini.

YB Arifin Deraman bersama para ahli syura WOAG Malaysia.

Majlis anjuran Rabitah Antarabangsa Alumni Al-Azhar Malaysia (WOAG) itu diadakan bagi meraikan lebih 150 alumni Al-Azhar dari negeri Terengganu yang hadir.

Jelasnya, hari ini masyarakat melihat timbulnya pelbagai isu yang mencalar kemuliaan Islam serta munculnya golongan yang tidak segan mengaku Muslim tetapi melakukan perkara yang bersalahan dengan tuntutan syariat Islam.

"Justeru, para azhariyyun perlu memainkan peranan selaku golongan yang diberi kefahaman agama yang baik agar membimbing masyarakat dari terus dibelenggu dengan kekeliruan dan kesalahfahaman berkenaan Islam," katanya.

Dalam pada itu, Presiden Rabitah Antarabangsa Alumni Al-Azhar (WOAG) Malaysia, Prof. Dato' Mohd Fakhrudin Abdul Mukti menyifatkan, pesanan tersebut perlu dipandang serius oleh para alumni.

"Menjadi hasrat Al-Azhar sebenarnya untuk menyatupadukan umat Islam di seluruh dunia.

"Ramai ulama dari Al-Azhar di seluruh negara sentiasa diseru untuk menyebarkan kefahaman dan konsep wasatiyyah Islam dalam mendamaikan umat Islam." katanya.

Jelasnya, WOAG Malaysia yang ditubuhkan sekitar 2011 telah banyak melakukan program berkaitan pemikiran Islam dan menyampaikan konsep wasatiyyah dalam usaha menangani isu-isu ekstremisme dan keganasan dalam negara.

"Antara tujuan ia ditubuhkan adalah untuk menjernihkan pemikiran-pemikiran dan ideologi ini dalam dunia Islam selain menyentuh isu-isu global yang berlaku hari ini,: katanya.

 

 

 

 


Tag: