Jalur Gemilang
Berita :
Badan Khairat Bukan Sekadar Urus Jenazah
Badan Khairat Bukan Sekadar Urus Jenazah
Amiirullah Mansor
3 jam yang lepas
74

DUNGUN, 20 September – Badan Khairat Kematian bukan sekadar menguruskan jenazah, sebaliknya memikul amanah besar masyarakat yang menuntut pengurusan telus, tersusun dan penuh integriti.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan Negeri Terengganu, Dato’ Satiful Bahri Mamat berkata, kepercayaan atau tsiqah masyarakat merupakan antara perkara paling penting yang perlu dipelihara oleh setiap badan khairat.

“Sekali kepercayaan masyarakat terhakis, bukan mudah untuk kita bina semula. Sebab itu soal kewangan, pentadbiran dan pelaporan mesti diurus dengan baik, telus serta mengikut syarak dan peraturan.

“Walaupun tugas ini dilakukan secara sukarela, amanah yang dipikul sangat besar kerana kita berurusan dengan masyarakat pada saat mereka sedang menghadapi kehilangan insan tersayang,” katanya.

Beliau berucap demikian ketika merasmikan Majlis Perasmian Kursus Badan Khairat DUN Paka 2026 di Dewan Pondok Pinang Merah, Paka.

Program berkenaan menghimpunkan pimpinan dan wakil Badan Khairat Kematian daripada 13 zon dalam DUN Paka bagi berkongsi pengalaman, membincangkan cabaran pengurusan serta mencari penyelesaian bersama.

Menurutnya, pengurusan badan khairat melibatkan pelbagai aspek termasuk pentadbiran, kewangan, pengurusan van jenazah, pemandi jenazah, penggali kubur serta penyelarasan tenaga kerja di peringkat kampung dan zon.

Katanya, antara perkara yang turut diberi perhatian ialah penyediaan brosur panduan pengurusan kematian sebagai rujukan mudah kepada masyarakat, khususnya generasi muda.

Brosur tersebut akan memuatkan panduan asas serta nombor telefon penting mengikut 13 zon bagi memudahkan masyarakat mengetahui pihak yang perlu dihubungi apabila berlaku kematian.

“Generasi muda hari ini mungkin tidak semuanya terdedah dengan urusan kematian. Jadi kita mahu ada satu panduan mudah supaya apabila berlaku kematian dalam keluarga atau komuniti, mereka tahu apa tindakan awal yang perlu dibuat,” katanya.

Tambahnya, perubahan gaya hidup dan kesibukan masyarakat turut menjadikan peranan badan khairat semakin penting.

Jika dahulu kebanyakan urusan kematian dapat dilaksanakan secara gotong-royong sepenuhnya oleh masyarakat kampung, kini banyak tanggungjawab tersebut digalas oleh jawatankuasa badan khairat dan pihak masjid.

Dalam pada itu, Satiful turut merakamkan penghargaan kepada semua pengerusi, jawatankuasa dan petugas Badan Khairat Kematian di seluruh DUN Paka yang terus istiqamah mencurahkan masa dan tenaga kepada masyarakat.

“Kerja ini bukan kerja yang mudah. Kita berhadapan dengan pelbagai ragam, cabaran dan keperluan masyarakat, sedangkan sebahagian besar tugas ini dilakukan secara sukarela.

“Tetapi inilah ruang yang Allah berikan kepada kita untuk berkhidmat. Sebaik-baik manusia ialah mereka yang memberi manfaat kepada manusia lain.

“Mudah-mudahan segala masa, tenaga dan pengorbanan yang dicurahkan dalam menguruskan kebajikan masyarakat ini dikira sebagai amal soleh dan diberi ganjaran oleh Allah SWT,” katanya.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan