• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Baik Pulih Sistem Perparitan Atasi Banjir

DUNGUN, 10 Disember- Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun giat mencari mekanisme terbaik bagi menambah baik sistem perparitan di beberapa lokasi yang sering dilanda banjir di Dewan Undangan Negeri (DUN) tersebut.

Katanya, permasalahan yang berlarutan sekian lama di jalan masuk Simpang Tok Kah, kampung-kampung sekitar Tanjung Jara dan Padang Sekolah Kebangsaan Pulau Serai antara lokasi yang diberi perhatian serius.

"Penyelesaian untuk jangka pendek akan dilaksanakan manakala untuk jangka masa panjang peruntukan akan diangkat kepada kerajaan negeri, dan agensi-agensi terlibat sudah membuat lawatan dan melihat dari dekat untuk menyelesaikan masalah ini, "jelasnya. 

Alias ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan bersama beberapa agensi berkaitan termasuk Jabatan Kerja Raya, Jabatan Perparitan dan Saliran, Pejabat Daerah Dungun dan Majlis Perbandaran Dungun. 

Turut hadir, Pegawai Daerah Dungun, Anuar Awang, Jurutera Daerah Jabatan Perparitan dan Saliran Dungun, Aisyah Abu Bakar,  Jurutera Daerah Jabatan Kerja Raya Daerah Dungun, Muhammad Al Azhar Ali dan Penghulu Mukim Abang, Abd. Ghafar Abu Bakar.

Menurut beliau, beberapa solusi turut akan diambil antaranya mengadakan jambatan untuk mengatasi banjir di Tanjung Jara.

"Macam padang Sekolah Kebangsaan Pulau Serai, memang bila hujan lebat, padang tersebut akan ditenggelami air menyebabkan aktiviti - aktiviti yang hendak dijalankan terganggu, itu pun sudah ada dalam cadangan JPS jalan penyelesaiannya, kita doa-doalah ianya dapat disegerakan, " katanya 


Tag: