• 15 Okt 2024 | 12 Rabiul Akhir 1446

Baik Pulih Taman Monumen TTI Bermula Hujung Tahun Ini

KUALA TERENGGANU, 18 Julai – Sebanyak RM5 juta diperuntukkan kerajaan negeri bagi membaik pulih ikon pelancongan Terengganu, Taman Monumen yang menempatkan 22 replika masjid terkenal dunia di Taman Tamadun Islam (TTI) di sini .

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT), Wan Adnan Wan Derahman berkata pihaknya akan melaksanakan kerja baik pulih dan mengindahkan semula Taman Monumen yang sebahagiannya sudah lusuh secara berperingkat bermula akhir tahun ini.

“Kita akan mulakan proses pembaikian monumen kincir Air  yang kerosakannya agak teruk dan selepas itu Taj Mahal dan Samarra.

“Pihak kami juga akan bekerjasama dengan beberapa universiti untuk hantar pelajar mereka khususnya dalam bidang seni bina jalankan kerja lapangan dan tanggungjawab sosial korporat di Taman Monumen ini,” katanya ketika ditemui pemberita.

Taman Tamadun Islam adalah taman tema pertama yang mengiktiraf seni bina Islam. Kompleks ini menempatkan 22 replika bangunan berkaitan sejarah Islam dunia dari 20 negara.

Tarikan utama di sini termasuk Masjid Negara (Malaysia), Dome of the Rock (Palestin), Masjidil Haram (Arab Saudi), Al-Hambra Citadel (Spain) dan Taj Mahal (India).

Terdapat juga Mimbar Kalyan (Uzbekistan), Makam Abu Nasr (Afghanistan), Mimbar Berputar Samarra (Iraq), Masjid Mohd Ali (Kaherah), Masjid Besar Qairawan (Tunisia), Masjid Besar Agadez (Nigeria), Aleppo Citadel (Syria), Masjid Kul Syarif (Russia) dan Mimbar Xian, China.

Kesemua 22 replika masjid termasuk monumen dan tugu dibina pada nisbah skala 1:4 hingga 1:22 berbanding saiz asal.