• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Bajet 2021: Kementerian Kewangan Teliti Cadangan Terengganu

KUALA TERENGGANU, 6 September - Kementerian Kewangan (MoF) akan meneliti setiap cadangan dikemukakan pihak berkepentingan (stakeholder) di Negeri Terengganu bagi merangka Belanjawan 2021 yang dijadual dibentangkan pada November depan.

Menteri Kewangan, Tengku Dato’ Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pihaknya telah membincangkan pelbagai langkah yang boleh diusahakan bersama Kerajaan Persekutuan untuk melonjakkan lagi ekonomi Terengganu, terutamanya di dalam keadaan dunia yang masih dibelenggu pandemik COVID-19.

Katanya, setakat ini menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA), apa yang telah dimanfaatkan oleh warga Terengganu adalah bernilai hampir RM767 juta manakala perniagaan di negeri ini telah mendapat manfaat RM257 juta.

"Dari segi memperkukuhkan ekonomi pula, kerajaan pusat telah menyalurkan bantuan bernilai RM3.8 juta melalui projek-projek kecil.

"Lawatan rasmi ini adalah salah satu lawatan program Jelajah Konsultasi Belanjawan 2021 Kementerian Kewangan bagi mendapatkan maklumbalas mengenai bantuan yang telah disalurkan dan juga cadangan untuk penambahbaikan melalui Belanjawan 2021.
 
"Antara fokus utama kami adalah untuk berjumpa dengan wakil persatuan dan pengusaha industri pelancongan yang terkesan akibat COVID-19, dan juga wakil-wakil industri minyak, gas dan petrokimia," ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas mengadakan kunjungan hormat ke Pejabat Menteri Besar Terengganu, di Wisma Darul Iman, hari ini.

Tambah beliau, dalam usaha merangsang sektor pelancongan, ada beberapa inisiatif di bawah PRIHATIN dan PENJANA yang menyokong pemulihan sektor pelancongan termasuk, pembiayaan sektor pelancongan yang bernilai RM1 billion, program subsidi upah dan pelepasan cukai individu sehingga RM1,000 untuk perbelanjaan pelancongan domestik.

“Bagi industri minyak, gas dan petrokimia yang merupakan tulang belakang ekonomi negara pula, sektor perlombongan dan penggalian serta pemerosesan produk petroleum menyumbang kira-kira 10 peratus KDNK Malaysia atau RM140 bilion untuk tahun 2019.
 
“Dari segi eksport, minyak dan gas serta produk petrokimia menyumbang kira-kira 20 peratus daripada jumlah eksport negara bernilai sekitar RM180 bilion,” ujarnya.

Katanya, Kerajaan Persekutuan akan bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk memastikan bantuan dan langkah-langkah yang akan disediakan oleh kerajaan melalui Belanjawan 2021 akan sampai kepada kumpulan tersasar dengan telus dan cepat. 

“Contohnya, negeri Terengganu kaya dengan sumber semulajadi, warisan budaya dan anugerah alam sekitar semula jadi. Ianya mempunyai potensi besar untuk terus dibangunkan. Potensi inilah yang akan dikaji bersama melalui perbincangan dengan pihak-pihak berkepentingan,” jelasnya.


Tengku Zafrul berkata, Belanjawan 2021 akan memberi tumpuan kepada empat tema utama iaitu menjaga kebajikan rakyat, memacu pertumbuhan ekonomi, melestarikan kehidupan dan memantapkan penyampaian perkhidmatan awam.

Sementara itu, Menteri besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kerajaan negeri mengalu-alukan kedatangan Menteri Kewangan bersama delegasi dari MoF ke negeri ini.

“Saya percaya sebahagian daripada objektifnya adalah untuk mendapatkan maklumbalas stakeholder di setiap negeri daripada pelbagai industri dalam merangka Belanjawan 2021.

“Saya bagi pihak Kerajaan Negeri Terengganu mengucapkan terima kasih atas kehadiran beliau dan banyak perkara yang telah dibincangkan dan kita sentiasa terbuka kepada maklumbalas MoF untuk memperkukuhkan kewangan negeri,” ujarnya.

Katanya, kerajaan negeri akan berusaha untuk mempertingkatkan hasil negeri yang lain memandangkan kebergantungan Negeri Terengganu terhadap hasil daripada petroleum dan gas sebanyak 70 peratus.


 


Tag: